Konsert Siti Nurhaliza paling mahal

1
709
Gambar atas: Siti Nurhaliza bersama Shirazdeen Karim pada majlis sidang akhbar konsert Dato Sri Siti Nurhaliza On Tour di Kuala Lumpur pada 18 Disember 2018.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

KOS konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menelan belanja RM10 juta dan ini merupakan perbelanjaan termahal yang pernah dikeluarkan oleh penganjur untuk artis tempatan.

Penerbit Eksekutif Shiraz Projects Sdn. Bhd., Shirazdeen Karim yang menganjur Konsert Dato Sri Siti Nurhaliza On Tour berkata, pelaburan sebanyak itu sejajar dengan kemasyhuran dan populariti penyanyi tersohor itu.

Tambahan pula konsert Siti Nurhaliza, 39, itu bakal diadakan di tiga negara iaitu di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Konsert penjelajahan Siti Nurhaliza akan memula langkah di Senayan, Indonesia pada 21 Februari 2019.

Datuk Siti Nurhaliza sewaktu sidang media.

Selepas itu, beliau akan bertemu dengan para peminat di Singapore Expo, Singapura pada 2 Mac.

Malaysia pula menjadi destinasi ketiga Siti Nurhaliza yang akan berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Bukan itu sahaja, kata Shiraz, pihaknya juga akan mengembalikan nostalgia persembahan Siti Nurhaliza di Royal Albert Hall, London seperti mana Konsert Siti Nuhaliza Live di sana pada 1 April 2005. Konsert di Albert Hall akan diadakan pada 22 April 2019 nanti.

“Kami mahu menjadikan konsert ini setaraf penyanyi antarabangsa. Untuk mencapai piawaian itu kami amat menitikberatkan perihal pentas terutamanya dari segi sistem dan  penataan cahaya.

“Dari segi persembahan juga kami telah mendapatkan khidmat guru vokal dari Amerika Syarikat, Stephanie Fisher untuk melatih Siti. Penyanyi yang pernah mendapat bimbingan Fisher adalah Jill Scott. Begitu juga dengan guru tari telah disediakan untuk melatih Siti.

“Pihak kami dan Siti mahu menjadikan konsert ini sebagai persembahan terbaik yang pernah dianjurkan untuk artis tempatan,” katanya pada sidang akhbar pemgumuman program  Dato Sri Siti Nurhaliza On Tour yang berlangsung di hotel ternama di Kuala Lumpur petang tadi (18 Disember 2018).

Selain itu, konsert yang akan berlangsung kira-kira dua jam lebih itu akan diiringi 30 pemuzik, termasuk tiga dari Amerika Syarikat dan diketuai Pengarah Muzik, Aubrey Suwito.

Sepanjang tempoh Siti menjayakan konsert penjelajahan itu, sebuah dokumentari They Call Me Siti yang berkisar tentang perjalanan kehidupannya akan dirakam.

Menariknya tentang konsert ini, Siti turut mengundang penyanyi dari Indonesia, Tulus untuk turut serta.

Bagi yang tidak sabar untuk menonton konsert Siti boleh melayari www.mytickets.asia untuk membeli tiket-tiket yang berharga RM1,295 (meet & greet), RM495, RM355, RM255, RM155 dan RM105 yang mula dijual pada 26 Disember ini.

– BebasNews
Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here