Gambar kenangan penulis (Nazeri Nong Samah) bersama Sudirman Haji Arshad di Kuala Lumpur pada Disember 1986.

Oleh NAZERI NONG SAMAH

RAMAI dalam kalangan kita yang tidak menyedari bahawa Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad merupakan tokoh penghibur bermotivasi menggerakan perpaduan rakyat menerusi arena hiburan.

Dalam erti kata lain, Sudirman semacam menggunakan ‘pendekatan politik’ serampang dua mata menghibur sambil menerapkan mesej bagi merapatkan hubungan masyarakat majmuk Malaysia.

Ini dapat dibuktikan dalam setiap konsert dan acara hiburan pentas yang dipersembahkan termasuk di televisyen, Sudirman akan sentiasa menyelitkan elemen kepentingan perpaduan masyarakat majmuk sama ada dalam bentuk kata-kata nasihat dan nyanyian lagu pelbagai bahasa etnik.

Justeru setiap pementasan konsert Sudirman menyaksikan lagu nyanyiannya mendapat sambutan hebat seiring dengan tontonan tiga etnik utama Malaysia seperti Melayu, Cina dan India.

Sebahagian besar daripada lagu yang didendangkan oleh Sudirman dalam 15 buah album rakaman studio sepanjang 16 tahun bergelar artis itu mengandungi genre patroitik, cinta, nasihat dan mesra rakyat. Antaranya lagu ‘Tanggal 31,’ ‘Tegakkan Bendera Kita,’ ‘Warisan,’ ‘Aku Penghiburmu,’ ‘Salam Terakhir,’ ‘Balik Kampung,’ ‘Apa Khabar Orang Kampung,’ ‘Aku Penganggur,’ ‘Anak Gembala,’ ‘Basikal Tua,’ ‘Mat Disko,’ ‘Punch Card’ dan banyak lagi.

“Perpaduan kaum adalah kunci utama kepada kestabilan dan kemajuan sesebuah negara,” ungkap Sudirman yang petah berbicara bagaikan ucapan pemimpin politik itu kerap bermain di bibir mulutnya dahulu.

Setelah diselidiki, ternyata Sudirman mempunyai darah pemimpin politik yang mengalir dalam dirinya.

Gambar ibu Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Allahyarham Ramlah Dahlan yang menjadi wakil rakyat wanita pertama di Pahang bagi kawasan Temerloh Selatan selepas menang dalam pilihan raya umum sebelum merdeka pada 24 September 1955.

Ibu kepada Sudirman, Allahyarham Ramlah Dahlan adalah tokoh muda muda sebagai Ketua Kaum Ibu UMNO Pahang merupakan wakil rakyat wanita pertama di negeri tersebut selepas menang kerusi kawasan Temerloh Selatan atas tiket parti Perikatan (lambang kapal layar) dalam pilihan raya umum sebelum merdeka pada 24 September 1955. Ramlah kemudiannya meninggal dunia dalam usia muda 33 tahun ketika Sudirman baru berusia lima tahun.

Seandainya umur Sudirman panjang, beliau juga dijangka menerjuni bidang politik bagi meluaskan skop khidmat dan bantuan kebajikan kepada rakyat jelata, berbanding peranan sebagai penghibur agak terhad untuk berbuat demikian.

Namun begitu, secara senyap-senyap, Sudirman yang juga ‘dermawan’ itu telah menghabiskan banyak wang untuk membantu golongan keluarga susah, pelajar sekolah miskin, termasuk dalam kalangan siswa institusi pengajian tinggi tempatan yang mengutus surat atau datang sendiri meminta bantuan wang daripadanya.

Sudirman yang juga dikenali sebagai ‘peguam penyanyi’ berijazah lulusan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Kuala Lumpur tahun 1980 dan ditauliahkan pada 1984 selepas menjalani praktikal guaman.

Beliau turut melebarkan sayap sebagai ahli perniagaan pernah mengeluarkan minuman jenama SUDI mirip namanya berupa kombinasi kreatif huruf awalan bagi nama syarikat Sudirman Usaha Dagang Industri Sdn. Bhd. tahun 1991. Pada 9 Mac 1991, Sudirman muncul dalam konsert besar terakhirnya di Ayer Keroh, Melaka sempena promosi minuman SUDI yang dikilangkan di negeri tersebut. Anehnya selepas konsert itu, Sudirman enggan bertemu wartawan dan terus pulang ke Kuala Lumpur.

Bakat lain yang tidak kurang hebatnya daripada anak seni bertubuh kecil itu ialah berkemampuan sebagai pereka fesyen, penulis dan pelukis ke akhbar serta majalah ternama tempatan. Antara buku yang sempat dihasilkan ialah buku koleksi artikelnya ‘Dari Dalam… Sudirman (1986) dan buku kartun ‘Sejarah Awal Sudirman’ hasil lukisan beliau (1991) kedua-duanya diterbitkan oleh Karangkraf. Sebuah lagi buku bacaan kanak-kanak ‘Taming Si Budak Pintar’ menang hadiah pertama dalam Mobil-Malaysian Assocition of Book Publishers Awards tahun 1995.

Kecemerlangan yang pernah diraih oleh Sudirman ialah menjadi Juara Bintang RTM 1976 di peringkat negara, kemudian dinobatkan sebagai Penghibur No. 1 Asia selepas mengalahkan para penyanyi terkemuka dari rantau Asia dalam acara Salem Music Awards Festival di Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989. Sudirman menyanyi lagu ‘One Thousand Million Smiles’ ciptaan komposer Michael Veerapen dan lirik oleh Paul Ponnugurai, kedua-duanya dari Malaysia.

Dari segi lakonan, Sudirman hanya sempat membintangi sebuah filem cereka berjudul ‘Kami’ arahan pengkritik filem, Patrick Yeoh keluaran Indra Filem Productions & Distributions Sdn. Bhd. tahun 1982.

Mengenai kehidupan peribadinya, Sudirman telah berkahwin dengan wanita pilihannya bernama Kamariah Jamaluddin (Kay) pada tahun 1981, tetapi bercerai pada 1984 tanpa dikurniakan zuriat.

Sudirman jika sempat mempelajari muzik secara profesional untuk mencipta lagu itu akan hampir pasti menjadi ‘seniman serba boleh’ menyusul selepas Seniman Agung Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee.

Dalam pada itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang pernah ditanya oleh penulis mengenai siapa anak seni Malaysia terhebat selepas P. Ramlee, lalu Tunku pantas menjawab: “Dia ialah Sudirman Haji Arshad.”

Sudirman juga ada merakamkan sebuah lagu berunsur patriotik berjudul ‘Bapak’ bagi menghargai jasa Tunku sebagai Bapa Kemerdekaan negara kita ini.

Seterusnya Sudirman pernah berkata kepada penulis: “Jasa Almarhum Tunku Abdul Rahman amat besar kepada bangsa dan tanah air kita. Dalam bidang seni pula, saya amat meminati bakat dan karya agung P. Ramlee.

“Saya pernah bermimpi bertemu P. Ramlee memakai sepasang pakaian warna putih bersih. Sambil tersenyum, P. Ramlee melambai-lambaikan tangannya mengajak saya untuk mengikutnya ke suatu tempat,” kata Sudirman beberapa tahun sebelum beliau sendiri yang meninggal dunia.

Sudirman yang dilahirkan di bandar lama Temerloh, Pahang pada 25 Mei 1954 itu meninggal dunia dalam usia 37 tahun akibat penyakit radang paru-paru (pneumonia) sekitar pukul 4 pagi di rumah kakaknya, Rudiah di Bangsar Park, Kuala Lumpur pada Sabtu 22 Februari 1992. Tahun 2021 genap 29 tahun kematian Sudirman.

Jenazah Sudirman dibawa pulang ke kampung halamannya dan selamat disemadikan di pusara Islam Kampung Chengal, Temerloh. Al-Fatihah dibaca untuk Allahyarham. Semoga rohnya tenang dicucuri rahmat oleh Allah SWT.

Sudirman adalah anak bongsu daripada adik beradiknya yang terdiri daripada Zainuddin, Rudiah, Basir (Morni), Roslan dan Roaini.

Bagi menghargai jasa Sudirman, terdapat jalan dalam bandar Temerloh yang dinamakan sebagai Jalan Sudirman. Di bandar itu juga terdapat galeri tokoh yang turut menempatkan sejarah hidup anak seni berkenaan. Kita harap lebih banyak tempat tumpuan utama di peringkat negeri dan negara yang betsedia unyuk mengabadikan nama Sudirman pada masa depan.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here