PETALING JAYA – 21,408 pegawai perubatan dan 687 pegawai pergigian berstatus kontrak diberikan pelarasan gred bermula hari ini, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam kenyataan KKM berkata, pegawai perubatan kontrak gred UD41 akan dinaikkan gred ke UD43 dan pegawai pergigiankontrak gred UG41 ke gred UG44, berasaskan kesetaraan laluan kerjaya pegawai tetap.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa perbezaan gaji antara pekerja kontrak dan pekerja tetap adalah sekitar RM8,000 setiap tahun, walaupun mereka ini melakukan tugas yang sama.

Menurut kementerian lagi, pelarasan gred ini akan ditawarkan menerusi sistem “e-housemen” dan “e- dentist” bermula 25 Feb 2021 dan notifikasi mengenai tawaran ini juga akan dikemukakan kepada pegawai berkenaan menerusi emel masing-masing.

“Dengan pelarasan gred ini, diharapkan agar pegawai dapat meningkatkan lagi motivasi dan komitmen masing-masing untuk melaksanakan tugasan dengan lebih cemerlang, termasuklah turut bersama dalam membendung dan menangani pandemik Covid-19,” katanya.

KKM turut memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam pada 4 Feb dan Kementerian Kewangan Malaysia pada 10 Feb meluluskan permohonan menyambung perkhidmatan kontrak seramai 585 pegawai perubatan, 1,071 pegawai pergigian dan 1,966 pegawai farmasi.

– Free Malaysia Today

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here