HARIMAU Malaya perlu sekurang-kurangnya muncul antara empat naib juara kumpulan terbaik sekiranya mahu layak automatik ke Piala Asia 2023 - kali pertama secara merit sejak 1980. - Foto FAM.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) sedia membenarkan mana-mana kumpulan dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang mahu menyambung baki perlawanan pusingan kedua dari 31 Mei hingga 15 Jun ini di venue berpusat berkecuali.

Syarat kebenaran itu hanyalah kelima-lima pasukan kumpulan berkenaan mesti sepakat terlebih dulu dengan kaedah itu malah bersetuju untuk membayar segala perbelanjaan di venue yang bukannya dalam kalangan mereka.

Sebagai contoh, Kumpulan G yang mengandungi Vietnam, Malaysia, Thailand, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia sekiranya mereka memilih satu venue di luar negara masing-masing bagi mengelakkan sebuah pasukan mempunyai kelebihan gelanggang sendiri.

“Boleh main di venue (berpusat) berkecuali jika kesemua pasukan kumpulan itu bersetuju dan sanggup membayar segala perbelanjaan di negara berkenaan,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John kepada BebasNews hari ini.

WINDSOR PAUL JOHN

Pada 17 Februari lalu, AFC mengumumkan penundaan baki pusingan kedua kelayakan itu yang melibatkan sebahagian besar kumpulan pada 25 dan 30 Mac ini ke 31 Mei hingga 15 Jun ini atas alasan pandemik Covid-19.

Turut dipinda ialah format timbal balik kepada venue berpusat yang bagi Kumpulan G mungkin menyebelahi UAE kerana angka kes penularan Covidnya agak rendah berbanding di rantau Asia Tenggara.

Dua hari kemudian, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam memberitahu, pihaknya tidak akan memohon menjadi tuan rumah venue berpusat kerana tidak dapat memberi jaminan dalam memenuhi syarat-syarat AFC.

Antara syarat pentingnya ialah soal logistik, saringan kesihatan, keselamatan dan kuarantin.

UAE ialah satu-satunya pasukan Kumpulan G yang mampu melangsungkan empat perlawanan persahabatan antarabangsa, menentang Uzbekistan (1-2), Tajikistan (3-2), Bahrain (1-3) dan Iraq (0-0) di Dubai dari 12 Oktober 2020 hingga 12 Januari lalu.

Daripada empat perlawanan sebelum tertunda dek Covid-19, hanya sekali Al Abyad menjadi tuan rumah iaitu ketika membelasah Indonesia 5-0 di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 10 Oktober 2019.
Mengikut jadual asal pada 30 Mac, Malaysia menanti Vietnam di gelanggang sendiri manakala selebihnya bertandang ke UAE dan Thailand pada 25 Mac dan 15 Jun.
AFC kata Windsor lagi, memberikan sehingga 8 Mac ini sebagai batas waktu kepada semua pasukan dan kumpulan untuk menjawab tawarannya berhubung venue berpusat itu.

“Kalau masih tiada venue yang dibida, barulah AFC akan memilihnya. Mengenai boleh atau tidak dilangsungkan dengan kehadiran penonton, itu tertakluk kepada peraturan tempatan di negara berkenaan,” katanya.

Hanya empat perlawanan Kumpulan B, D dan F yang dikekalkan jadual asalnya, 25 dan 30 Mac ini iaitu Nepal-Australia di Kathmandu, Arab Saudi-Yemen di Riyadh, Tajikistan-Mongolia di Dushanbe dan Mongolia-Jepun di Chiba.

Juara setiap kumpulan pusingan ini dan empat naib juara terbaik di antaranya, layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China dan terus merebut empat setengah tiket wakil benua ini ke Piala Dunia 2022 di Qatar.– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here