PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang syariah yang menjadikan seks luar tabii satu kesalahan akan memberi implikasi besar kepada perundangan syariah di negara ini, kata peguam syarie.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata, keputusan dicapai panel sembilan hakim itu akan membuka ruang kepada pihak lain untuk mencabar mana-mana peruntukan lain dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri.

“Keputusan itu menunjukkan selagi ada peruntukan tentang sesuatu kesalahan jenayah dalam undang-undang persekutuan, maka sukar untuk negeri mengadakan atau menggubal peruntukan berhubung kesalahan-kesalahan jenayah syariah, walaupun kesalahan itu dalam kategori kesalahan dilakukan orang yang menganut agama Islam terhadap ‘perintah agama’ itu,” katanya dalam kenyataan.

Musa berkata, ia juga memberi gambaran awal “menutup pintu” kepada cadangan melaksanakan undang-undang berkaitan hudud dan qisas di negara ini, memandangkan terdapat juga peruntukan bagi kesalahan seperti mencuri, merompak, dan membunuh dalam Kanun Keseksaan.

“PGSM menggesa kerajaan negeri dan pihak berautoriti mengambil tindakan secara drastik dan holistik untuk melihat dan mengkaji semula semua peruntukan undang-undang jenayah syariah sedia ada, bagi memastikan undang-undang jenayah syariah tidak lagi dicabar dan menjadi mangsa diperkotak-katikkan pihak tertentu,” katanya.

Terdahulu, ketika menyampaikan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut, pengerusi panel hakim, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen, bukannya badan perundangan negeri Selangor.

Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum, adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kata beliau.

Ini susulan permohonan seorang lelaki berusia 35 tahun, yang identitinya dirahsiakan atas permintaan peguam, untuk deklarasi bahawa Seksyen 28 enakmen itu adalah tidak menepati perlembagaan.

Dia didakwa bawah seksyen itu di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor atas tuduhan cuba melakukan seks luar tabii dengan lelaki lain pada 2018. – Free Malaysia Today

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here