SEORANG pembantu rumah warga Myanmar dipercayai didera majikannya di sebuah rumah di Jalan Perpaduan, Kampung Baru di Bukit Mertajam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Shafee Abd Samad berkata bertindak hasil maklumat, polis menjalankan pemeriksaan di rumah pasangan suami isteri yang juga majikan kepada pembantu rumah berusia 30-an itu pada 9.30 malam tadi.

“Kami menerima maklumat daripada beberapa individu berhubung kejadian dera dan polis telah ke rumah berkenaan sebelum menyelamatkan mangsa yang ketika itu berada di sebuah bilik dalam keadaan lemah.

“Pemeriksaan awal terhadap fizikal mangsa mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan di bahagian muka, kesan parut melecur di lengan, luka bekas jahitan dan kesan calar di badan serta kakinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pembantu rumah yang bekerja dengan majikannya sejak dua tahun lepas itu memberitahu bahawa dia didera dengan cara dipukul, disimbah air panas, cubitan dan sebagainya oleh majikan wanitanya sejak setahun lepas.

Shafee berkata mangsa kini dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan dan polis akan mengambil keterangan mangsa untuk siasatan lanjut.

Berikutan itu, beliau berkata pasangan suami isteri berusia 50-an dan 60-an itu ditahan dan direman untuk siasatan kes mengikut Seksyen 13 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan 44 Atipsom 2007.

Difahamkan sepanjang mangsa bekerja di situ dia dibayar gaji namun majikannya mengabaikan dari segi kebajikan termasuk makanan.

– Bernama

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here