DUA hari lalu pendakwah selebriti, Imam Muda Asyraf memuat naik video di Instagram miliknya (imammudaasyraf), menguar-uarkan ada seorang hamba Allah memberi infak baju Melayu putih untuk anak-anak yang belajar di Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Ketika dihubungi BebasNews, Asyraf mengaku beliau agak sibuk kerana orang datang tak henti untuk mengambil pakaian baju Melayu untuk anak masing-masing.

Menurut Asyraf, hamba Allah itu adalah kawan baik beliau berasal dari Johor.

“Kawan saya ni seorang yang pemurah. Orang di Johor pun kenal dia. Dia dulu buat baju sekolah dan kadang-kadang bantu orang zakat dan asnaf.

“Ketika buat baju untuk pembekal zakat waktu itu, dia sengaja buat lebih kerana ada kemungkinan nanti golongan asnaf datang. Mana tau saiz tak cukup atau sebagainya, tu yang dia buat lebih.

“Lebihan pakaian lebih kurang dekat satu lori juga. Jadi yang ada kat saya kira-kira 600 helai. Ini lebihan tahun lepas la. Tahun lepas kan, sekejap sekolah buka sekejap tutup, jadi akhirnya kami simpan dulu,” kata Asyraf yang turut menyumbang dalam infak tersebut.

Menurut Asyraf, beliau terpaksa menguar-uarkan pemberian infak menerusi media sosial kerana pengumuman pembukaan semula sesi persekolahan dimaklumkan pihak berkuasa dalam dalam waktu yang singkat.

“Disebabkan kekangan waktu dan persekolahan pun dah nak buka cepat, kita buat iklan macam tu dan saya pun tak sangka benda itu akan menjadi perhatian ramai.

“Selalunya kalau nak infak pada golongan asnaf, kita yang pergi kepada mereka sebab kalau mereka keluar rumah, kos pengangkutan lagi. Untuk memudahkan orang datang ambil, sebanyak 300 helai pakaian diletakkan di Butik Aisy Asyraf Bangi Sentral dan Bertam Walk, Kepala Batas, Pulau Pinang,” jelasnya.

Tambah Asyraf, walaupun setiap penerima hanya diberi sepasang pakaian, namun jika pelajar itu benar-benar memerlukan lebih, beliau tidak keberatan untuk memberi lebih.

“Alhamdulillah, hari ini saja orang mai serbu dan kita seronok. Dapatlah capai sasaran kita untuk habiskan secepat mungkin. Cuma saya bimbang ada saki baki sedikit lagi nanti orang datang, benda tu dah habis, kesian pula.

“Jadi setakat ini saya terpaksa letak kat butik sebab untuk memudahkan orang untuk ukur saiz sebab ada bilik persalinan. Bila dapat bantu orang begini, lega rasanya,” katanya yang sering melakukan kerja-kerja amal sebelum ini.

Biarpun perniagaannya turut terkesan kerana pandemik Covid-19, namun Asyraf tetap bersyukur kerana perniagaan atas talian sedikit sebanyak turut membantu.

“Alhamdulillah, walaupun terkesan dengan perniagaan, bukan saja saya, semua orang terkesan sebab Covid-19. Kalau sebelum ini saya ada lima buah butik, sekarang hanya tinggal empat buah cawangan saja iaitu di Kota Bahru, Shah Alam, Bangi dan Bertam, Pulau Pinang.

“Kita pun macam biasa, masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kita tutup tapi sewa premis tetap berjalan macam biasa. Apabila diberi kelonggaran kita buka, dua minggu lalu.

“Tidak dinafikan perniagaan online sangat-sangat membantu dan secara tak langsung menyelamatkan perniagaan kita. Walaupun hakikatnya baju Melayu dan kurta lelaki ini, miliki cara jual beli yang berbeza tak sama macam jual pakaian wanita.

“Jualan pakaian lelaki ni, kalau ikutkan jualan retail sangat kuat sebab orang lelaki ni pergi ke kedai dan bukan beli online sangat. Tetapi nak buat macam mana dengan keadaan sekarang ini orang terpaksa beli online. Buat masa sekarang, perniagaan online banyak membantu,” katanya terus terang.

Dalam pada itu, Asyraf sempat berpesan kepada orang ramai supaya tabah menghadapi dugaan ini kerana rezeki Allah itu luas dan didatangkan dalam pelbagai cara.

“Untuk semua orang yang sedang hadapi kesan Covid, kita cuba cari alternatif, cuba cari pintu keluar untuk masuk pintu yang betul. Doa banyak-banyak moga Allah bagi kepada kita ilham dan petunjuk.

“Kalau tak boleh dengan satu jalan, kita cuba dengan jalan lain. Sebab rezeki Allah itu luas, rezeki Allah itu macam-macam cara, kaedah dan merata tempat. Harap kita tak putus asa pada ujian yang Allah bagi ini,” ujarnya. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here