Oleh AMREE AHMAD

HEBAT… Setelah mendapat maklum balas positif ramai penumpang, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal memperluaskan lagi bilik Ruby Lounge di tiga buah stesen utamanya.

Ruang rehat eksklusif penumpang kelas bisnes platinum Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) 2 itu menerima pujian pelbagai pihak kerana suasananya persis lounge elit di lapangan terbang.

Dibuka secara rasmi pada 12 Jun lalu iaitu dua hari selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dilaksanakan, ia terletak di aras dua stesen Kuala Lumpur Sentral di ibu negara.

“Projek seterusnya ini ada dirancang pula di stesen Ipoh, Perak; Butterworth, Pulau Pinang dan Padang Besar, Perlis,” kata Pengurus Kanan KTMB, Shahril Sahak kepada dihubungi.

Beliau menjelaskan, syarikat rel berkenaan memang merancang untuk buka lagi lounge tersebut di beberapa stesen besar, namun situasi pandemik pada ketika itu tidak mengizinkan.

Bagaimanapun ujarnya, perancangan itu kemungkinan besar dapat diteruskan dalam masa terdekat dan dijangka secara berperingkat demi keselesaan penumpang kelas perniagaan.

“Ruby Lounge di stesen Kuala Lumpur Sentral berkeluasan 250 meter persegi dengan 46 sofa dan dilengkapi liputan wifi selain dihidang pelbagai minuman panas percuma,” jelas Shahril.

Kawasan ruang tersebut tambahnya, selain ada tandas dan set televisyen, ia turut mempunyai laluan akses terus ke platform tren di aras paling bawah apabila ETS2 tiba stesen berkenaan.

Penumpang juga boleh menikmati panorama suasana stesen tersebut dari dinding berkaca di sekitar lounge itu sambil berehat santai sebelum dibenarkan menaiki tren ke destinasi dituju.

Kelas bisnes ETS2 dilancarkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan mencemar duli menaiki tren dari stesen lama Kuala Lumpur ke Ipoh pada 10 Oktober 2019.

Koc khas tersebut direka untuk penumpang yang mahu kelainan tersendiri dengan dilengkapi pelbagai kemudahan canggih termasuk tempat duduk lebih luas boleh laras dan amat selesa.

Ia turut menawarkan fasiliti istimewa seperti kit perjalanan, wifi, video atas permintaan serta pengecas USB untuk peranti selain set makanan disajikan oleh pramugari dan pramugara.

KTMB ketika ini dilaporkan mempunyai 19 tren ETS Kelas 93 buatan China yang setiap satu mampu memuatkan 320 penumpang dengan kelajuan boleh mencecah 180 kilometer sejam.

ETS mula dilancarkan pada 2010 lalu yang melibatkan laluan sektor Utara sehingga ke Padang Besar manakala sektor Selatan hingga ke Johor Bahru, Johor dijangka beroperasi tahun depan.   – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here