NORA ARIFFIN.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR


MESKIPUN hampir tiga tahun suaminya, Johan Nawawi meninggal dunia akibat serangan jantung, namun Datuk Nora Ariffin akan terus menyantuni silaturahim dengan para wartawan, warga seni dan sahabat handai yang telah dijalin Arwah suami sejak beliau menceburi bidang seni.

“Arwah Johan adalah seorang yang sentiasa memelihara silaturahim bersama wartawan, sahabat handai dan warga seni yang banyak membantu kami.

“Saya bersyukur dengan anugerah yang diberikan-Nya dan pada waktu sama Arwah sentiasa menjaga silaturahim dan menghargai kerjasama dan sokongan semua pihak terutama wartawan, warga seni dan para sahabat sepanjang perjalanan seni saya,” kata Datuk Wan Norafizah Datuk Wan Ariffin atau lebih mesra disapa Nora ketika dihubungi malam tadi.

NORA bersama satu hidangan Nasi Kenduri.

Suami Nora, Johan Nawawi meninggal dunia pada 24 Mac 2017 kerana serangan jantung. Mereka mendirikan rumahtangga pada tahun 1993 dan dikurniakan empat orang anak iaitu Muhammad Syakir Iman, 27, Muhammad Syakir Alif (meninggal dunia pada 14 Disember 2019 pada usia 20 tahun), Putri Nur Dahlia,15, dan Putri Nur Fatehah, 9 tahun.

“Demi silaturahim dan sebagai meneruskan sifat mulia Arwah suami, sempena 30 tahun saya dalam bidang seni, hari ini saya berkongsi juadah air tangan dari dapur Secukup Rasa Nora dengan menu Nasi Kenduri untuk dihadiahkan kepada ‘100 tetamu’ istimewa saya.

“Selain itu masakan saya hari ini juga sebagai tanda syukur di atas penganugerahan Pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) sempena Hari Wilayah baru-baru ini yang membawa gelaran Datuk.

“Saya tidak pernah menduga sebagai anak seni saya menerima penghargaan dan penghormatan yang begitu tinggi daripada negara. Insyaa-Allah saya akan teruskan perjuangan dalam bidang seni demi minat di samping mengharumkan nama negara,” janji Nora.

NORA bersama rakan kongsinya, Datuk Khairul dan isteri, Datin Eja Yaacob yang bertungkus lumus sejak Subuh untuk menyediakan Nasi Kenduri.

Juadah air tangan dari dapur Secukup Rasa Nora dengan Menu Nasi Kenduri adalah Nasi Beriani Arab, Ayam Masak Merah, Daging Masak Hitam dan Dalca Buah.

Nora bersama rakan kongsinya mula memasak Nasi Kenduri selepas Subuh pagi tadi di dapur Cafe Secukup Rasa Nora untuk dihadiahkan kepada ‘100 tetamu’ yang terdiri daripada wartawan, sahabat handai dan warga seni.

Penghantaran Nasi Kenduri yang diuruskan oleh Nora, rakan kongsinya, Datin Eja Yaacob dan suami, Datuk Khairul berserta lima orang petugas (rider) ke kawasan Ampang, Taman Tun Dr. Ismail, Damansara Heights, Bangi, Seri Kembangan, Kajang, Rawang dan sekitar Kuala Lumpur bermula pada jam 10 pagi tadi.

“Inilah hadiah istimewa saya buat semua yang tidak pernah jemu membantu saya dalam menjalani hidup sebagai anak seni,” kata Nora sebelum memulakan perjalanan menghantar Nasi Kenduri.

Nora mula menceburi bidang seni setelah menjuari Bintang HMI pada tahun 1991. Sejak menceburi bidang seni, Nora hadir dengan 14 album dengan enam album studio dengan album pertamanya “Sandiwara”
(1994) dengan lagu hitsnya “Di Persimpangan Dilema” dan lapan Album Kompilasi antaranya “Hanya Satu” (1998), “Abstrak Nora – Koleksi Terbaik Nora” (2000) dan “Memori Hits Nora” (2009).

Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, Nora pernah dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM 2) 1995 dan Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (berkumpulan bersama Datuk Sheila Majid dan Johan Nawawi) dalam lagu “Jentayu” pada AIM 3 (1996).

Menyentuh mengenai Dapur Secukup Rasa Nora, yang terletak di Bandar Saujana Putra, beliau memberitahu usahanya itu dimulakan sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu untuk mencegah penularan pandemik Covid-19.

NASI Kenduri iaitu Nasi Beriani Arab, Ayam Masak Merah, Daging Masak Hitam dan Dalca Buah sebanyak 100 pack siap untuk dihadiahkan kepada 100 tetamu istimewa.p

Menurut Nora, apabila PKP dilaksanakan banyak aktiviti seni terhenti dan bersama rakan kongsinya, Eja Yaacob dan suami, Khairul, beliau meneruskan bisnes berkenaan di cafe milik mereka yang terletak di Bandar Saujana Putra.

Dengan ‘signature’ Secukup Rasa Nora, Rendang Tok menjadi pilihan para pelanggan mereka yang mana ketika itu kebanyakan dijual melalui khidmat penghantaran dan juga secara ‘tapau.’

“Alhamdulillah rezeki anugerah-Nya, jika pada permulaan hanya 30kg sehari Rendang Tok yang dijual pada harga RM99 sekilogram (kg) kini setiap hari kami menerima tempahan sebanyak 120kg (dua ekor lembu tempatan),” kata Nora.

Selain menyanyi, Nora bersama Arwah Johan Nawawi pernah menerbitkan program animasi
“Ummi…Ceritalah Pada Kami” untuk siaran di Astro Ceria, TV3 dan Hits TV sebanyak 26 episod yang mula bersiaran pada Jun tahun 2012.

Program terbitan Hud Hud Media dan Johan Nawawi Sdn. Bhd. dalam format 3D bagi memastikan kualiti yang tinggi untuk mencapai standard animasi antarabangsa dengan kos penerbitan RM35,000 setiap episod menerima dana daripada Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDec).

Selain ditayangkan di stesen TV di Malaysia, “Ummi…” juga ditayangkan di stesen TV di Indonesia, Uzbekistan dan Acheh.

Selain “Ummi…Ceritalah Pada Kami,” syarikat milik beliau dan Arwah suami juga pernah menerbitkan program animasi untuk YouTube iaitu “Tales Of Wisdom” sebanyak 30 episod.

Bercakap mengenai perancangannya, Nora memberitahu;

“Insyaa-Allah saya akan terbitkan Ummi…dalam format ‘live’ dengan seorang hos wanita demi
menjimatkan kos tetapi dengan pengisian yang sama iaitu diterajui Umi sebagai Ikon Islamik.

“Buat masa ini biarlah saya simpan dalam hati siapakah wanita pilihan saya itu namun saya yakin beliau mampu menerajui program itu sebagai ikon ibu Islamik.”

“Ummi…Ceritalah Pada Kami” diterajui oleh Alif Johan ( Arwah Alif), Putri Dahlia, Aiman Abbas (Aiman), Hena Hamdan (Hena) dengan suara Nora (Ummi) bersama anggota Kumpulan Voices of Umi.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here