Oleh Luqman Haziq

JOHOR BAHRU – Pelbagai taktik digunakan pihak tertentu untuk membawa masuk barangan secara tidak sah ke negara ini.

Antara taktik yang digunakan dengan mengisytiharkan jumlah barangan itu pada jumlah yang berbeza bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Sekiranya taktik itu berjaya, mereka pasti mengaut keuntungan lebih.

,Namun, apa yang dirancang tidak selalunya berjaya, kadangkala dapat juga dikesan.

Antaranya, taktik untuk membawa masuk sebanyak 27 tan ikan cencaru bernilai RM113,603 berjaya dikesan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor dalam  sebuah kontena sejuk beku di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini kelmarin.

Pengarah Maqis negeri, Nur Afifah A. Rahman berkata, ikan tersebut dikesan pihaknya ketika membuat pemeriksaan rutin ke atas sebuah kontena pada pukul 5 petang.

Penguat kuasa Maqis mendapati 27,000 kilogram ikan cencaru tersebut dibawa masuk dari Vietnam itu didapati tidak sepadan dengan permit import yang diikrarkan.

“Kesemua barang dagangan bernilai RM113,603 itu ditahan untuk tindakan lanjut kerana telah mengemukakan dokumen yang tidak tepat, iaitu barang dagangan tersebut tidak sepadan dengan permit import,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Nur Afifah berkata, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian dengan memberikan permit, lesen, perakuan atau dokumen lain yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Maqis komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here