Oleh Nazeri Nong Samah

BAHANG Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Malaysia bagi meneruskan kelangsungan proses demokrasi semakin terasa, terutama bagi majoriti rakyat yang celik politik semasa negara ini.

Lantaran itu jangan terkejut kerana ‘trend’ pengundi PRU-15 adalah berbeza daripada PRU terdahulu.

Ini kerana pengundi yang semakin cerdik menilai akan ‘membuat pemilihan secara bebas’ tanpa terikat kepada parti tertentu walau sehebat mana laungan kempen.

Tsunami yang dijangka dilakukan oleh majoriti para pengundi ialah menggunakan pendekatan ‘lihat siapa calon’ bertanding PRU-15 bagi setiap kawasan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengapa majoriti pengundi PRU-15 bakal berbuat demikian? Jawabnya ialah kerana pemikiran mereka semakin bercelaru terutama dalam kegawatan ekonomi, kehilangan pekerjaan dan serangan serius pandemik Covid-19 sekali gus tidak tahu ke mana harus disandarkan harapan membela nasib disebabkan oleh para pemimpin parti politik dilihat asyik bertelagah untuk berebut kuasa.

Jika ‘trend’ pengundi ‘lihat siapa calon’ dan pilih yang dianggap tidak ‘hipokrit’ itu berlaku, maka tidak ada mana-mana parti berupaya menang dengan majoriti besar lalu pada akhirnya keputusan PRU-15 akan menyaksikan pembentukan ‘kerajaan campuran’ gara-gara aktif ‘lompat parti’ seperti yang berlaku ke atas kejatuhan pemerintahan 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas menang PRU-14 pada 9 Mei 2018 mengalahkan Barisan Nasional (BN).

PH digantikan dengan kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) apabila pemimpin utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM/Bersatu),Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-8 pada 1 Mac 2020 selepas terdapat sejumlah Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam PH dahulu ‘lompat parti’ menyertai
Bersatu. Ini bagi mencukupkan kuota membentuk kerajaan campuran baharu PN yang turut disertai oleh Muafakat Nasional (MN)
dianggotai UMNO dan Pas.

Majoriti pengundi sekarang sudah ‘bosan’ dengan gelagat para pemimpin politik yang bermasalah asyik mengutamakan agenda ‘bermain politik’ untuk mengekalkan kuasa dan pembangkang pula ghairah untuk merampas kuasa.

Sedangkan rakyat jelata miskin kini sudah lebih setahun menderita kesempitan hidup tidak mempunyai wang mencukupi akibat kehilangan pekerjaan dalam situasi negara dilanda pandemik Covid-19.

Di Malaysia sahaja dianggarkan lebih setengah juta penduduk kehilangan pekerjaan berikutan pelbagai bidang ekonomi melibatkan sektor pelaburan asing, pelancongan, perusahaan tempatan, perniagaan dan lain-lain lagi menghentikan aktiviti apabila negara dilanda pandemik Covid-19 sejak penghujung 2019.

Keadaan menjadi bertambah kronik dengan keperluan mengadakan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghalang pergerakan rentas sempadan daerah dan negeri ternyata menyekat penduduk untuk bergerak mencari rezeki, meskipun tujuan perintah itu baik bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Walaupun ada sedikit sebanyak inisiatif kerajaan PN mewujudkan bantuan kewangan menerusi program Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), tetapi peruntukan tersebut tidak mencukupi bagi menampung keperluan ketua keluarga yang mempunyai banyak tanggungan untuk menyediakan makanan harian.

Di samping itu sejak akhir-akhir ini, para pemimpin pembangkang mahupun penganalisis bebas politik, terutama menerusi media sosial YouTube dilihat tanpa berkompromi kerap menggunakan kata-kata tidak sopan itu terus mengecam pemerintahan kerajaan PN.

Tidak ketinggalan kecaman itu ditujukan kepada pelaksanaan Proklamasi Darurat 2021 dalam era pandemik Covid-19 berkuat kuasa pada 12 Januari lalu sehingga Ogos tahun yang sama didakwa pengkritik sebagai tujuan politik apabila diputuskan bahawa sepanjang tempoh itu tiada persidangan Parlimen dan DUN.

Muhyiddin dalam perutusannya berkata, beliau bersedia mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15 apabila kes pandemik Covid-19 di negara ini dapat diatasi kelak.

Justeru mampukah kerajaan PN mempertahankan kerajaannya selepas PRU-15 dalam keadaan anggota komponennya terutama UMNO menerusi keputusan persidangan perwakilan menyaksikan 189 daripada 191 bahagian UMNO sudah mengumumkan proklamasi menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU depan. Manakala jalinan kesetiaan MN pula menjadi teka-teki?

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here