MOHD. Firdaus Mohamed, antara Ahli Exco FAM yang dicalonkan sebagai Naib Presiden dalam Kongres pemilihan 2021-2025, 13 Mac ini. - Foto PBMM.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

KONGRES pemilihan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2021-2025 seperti kurang hangat dan agak hambar apabila hanya jawatan Naib Presidennya yang sah dipertandingkan dengan lima calon dinamakan.

Dengan Datuk Hamidin Mohd. Amin disahkan menang tanpa bertanding sebagai Presiden FAM bagi penggal kedua berturut-turut sejak 14 Julai 2018, jawatan Timbalan Presiden menyaksikan dua calon yang dinamakan, turut meraihnya secara automatik.

Hanya dua nama yang diumumkan dan disaring layak oleh Jawatankuasa Pemilihan FAM bagi kerusi nombor dua itu dengan Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi mempertahankannya manakala Datuk S Sivasundaram muncul penyandang baharu.

Seorang lagi Timbalan Presiden dari penggal 2017-2021, Datuk Seri Subahan Kamal tidak mempertahankannya.

Dua Naib Presiden FAM, Datuk Rosmadi Ismail dan Mohd. Joehari Ayub akan mempertahankan jawatan No. 3 badan induk itu dengan empat slot menjadi rebutan termasuk muka baharu, Datuk Posa Majais, Mohd. Firdaus Mohamed.

Agak mengejutkan ialah kembalinya Datuk Seri Afandi Hamzah.ke persaingan kerusi ini. Beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden FAM yang tewas pada pemilihan 25 Mac 2017.

Dua kerusi Ahli Exco Wanita pula dipertahankan Datuk Suraya Yaacob dan menjadi milik muka baharu, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah selepas hanya nama mereka yang dicalonkan.

ABDULLAH Mohd. Said. – Foto FAM.

Tujuh belas calon pula bersaing bagi lapan kerusi Ahli Exco FAM selebihnya dengan enam daripada mereka ialah penyandang – Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya, Datuk Jefferey Low Han Chau, Christopher Raj Aralanthu, Md. Dali Wahid, Datuk Kamarul Ariffin Mohd. Shahar dan Datuk Aminuddin Omar.

Pencabar baharu ialah Datuk Seri Shahril Mokhtar, Saaran Nadarajah, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, Datuk Shaari Mat Hussain, Abdul Aziz Yeop Jamaludin, Zulkefly Yahya, Syed Yazid Syed Omar, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad, Mohd. Firdaus Ahmad, Mohd. Yusuri Yusof dan Datuk Kamarudin Hassan.

Kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM, Prof. Datuk Dr Abdullah Mohamad Said, “sebanyak 34 nama calon telah diterima selepas tarikh akhir pencalonan pada 13 Januari lalu.

“Namun hanya 28 calon yang diberikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan kerana bakinya tidak mendapat syarat jumlah pencalonan minimum seperti Artikel 27 perenggan 4 Statut FAM Edisi 2020.

“Selepas batas waktu calon menjawab pengesahan bertanding, berakhir pukul 5.30 petang kelmarin, 27 calon menerima pencalonan bagi jawatan berkenaan dan seorang sahaja yang menolaknya,” katanya dalam siaran media FAM hari ini.

“Proses saringan integriti oleh Unit Integriti FAM membabitkan Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan semakan status kebankrapan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia, mendapati 27 calon itu, lulus dan layak bertanding,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here