Oleh Nurul Anuar Mansor

KUALA LUMPUR – Jemaah menteri dijangka akan membincangkan dan meluluskan skim pampasan kesan negatif vaksin covid-19 pada minggu depan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, ketika ini satu kertas kerja sedang disiapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibentang dan diluluskan mesyuarat jemaah menteri nanti.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ketika memaklumkan perkara itu berkata, keputusan itu dibuat sebagai solusi kepada persoalan pihak mana yang akan bertanggungjawab jika berlaku kesan negatif akibat pengambilan vaksin Covid-19 dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya pada 24 Februari lalu.

“Melalui skim tersebut, sebarang kecederaan (akibat pengambilan vaksin Covid-19) akan diberikan pampasan dan caj rawatannya dibayar oleh kerajaan.

“Jika kematian berlaku, bayaran pampasan tersebut akan dibuat terus kepada waris,” kata Khairy dalam perbincangan atas talian bertajuk Vaksin COVID-19: Ambil atau Tidak yang diadakan pada malam Jumaat.

Program anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook PPIM berkenaan diadakan bagi mendapatkan jawapan yang berlegar di fikiran rakyat mengenai vaksin tersebut.

Sementara itu, Khairy juga berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), yang bertanggungjawab dalam kelulusan vaksin COVID-19 di negara ini, amat teliti dalam soal kualiti dan keselamatan rakyat.

Menurut beliau, ketegasan badan itu telah menyebabkannya disifatkan syarikat pembekal vaksin sebagai agensi paling ‘tegas’ dan ketat berbanding badan regulatori antarabangsa lain.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata, pandangan itu berdasarkan maklum balas diterima beliau daripada syarikat pengeluar vaksin yang pernah didatanginya.

“Mereka berkata NPRA yang paling ketat, paling tegas dalam dunia’, dia (NPRA) tanya bukan satu dua soalan, (pengeluar vaksin( Russia bagi tahu saya, dia (NPRA) tanya 300 soalan sekali, termasuk soalan teknikal,” katanya.

Menurut Khairy yang juga Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, berkata NPRA adalah sebuah badan bebas yang tidak menerima arahan daripada orang politik, misalnya dalam isu mempercepatkan proses kelulusan vaksin.

Kata Khairy, ini kerana NPRA sangat mengutamakan keselamatan dan nyawa rakyat.
“NPRA tidak akan meluluskan dan membenarkan apa-apa produk perubatan farmasi masuk dalam negara kita selagi mereka tidak berpuas hati dengan dua perkara iaitu keberkesanan dan keselamatan. Jadi, terimalah apa saja vaksin diluluskan NPRA kerana ia selamat dan berkesan,” katanya.

– BebasNews

Please follow and like us: