Prof. Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

Kedudukan kuasa Dewan Undangan Negeri dalam membuat undang-undang kesalahan jenayah yang ianya juga wujud dalam Kanun Keseksaan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah sekali lagi menjadi isu yang dibangkitkan  dalam Mahkamah Sivil.

Dalam kes Iki Putra lawan Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor, Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya pada 25 Februari lalu secara sebulat suara memutuskan bahawa seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor (EJSS) 1995 yang memperuntukkan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii adalah tidak berperlembagaan dan justeru itu terbatal dan tidak sah. Ini kerana ia telah mengambil kuasa utama (primary power) Parlimen yang diberi kuasa dalam membuat undang-undang jenayah seperti yang diperuntukkan dalam Senarai 1 Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Dewan Undangan Negeri tidak mempunyai kuasa membuat undang-undang terhadap kesalahan jenayah termasuk jenayah Syariah yang telah diberikan kuasa kepada Parlimen. Jadual Kesembilan Senarai  II Senarai Negeri memberi hanya memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri untuk membuat undang-undang berkaitan dengan “pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama Islam (creation and punishment of offences by persons professing the religion of Islam against precepts of Islam). Kuasa Dewan Undangan Negeri adalah terhad oleh perkataan “kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan” (Preclusion Clause). Justeru itu, Jadual Kesembilan di dalam Senarai II Senarai Negeri juga dihadkan oleh Preclusion Clause ini.

Mahkamah Persekutuan bersetuju bahawa kesalahan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dalam seksyen 28 EJSS 1995 adalah satu kesalahan yang melanggar perintah agama Islam (precepts of Islam) di dalam Jadual Kesembilan Senarai II Senarai Negeri tetapi ia terhalang oleh Preclusion Clause tersebut.

Memandangkan Parlimen telah membuat undang-undang jenayah yang mempunyai persamaan dengan undang-undang jenayah Syariah negeri, Dewan Undangan Negeri tidak boleh membuat undang-undang yang sama. Dalam hal ini seksyen 377A Kanun Keseksaan sudah pun meliputi kesalahan jenayah persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii, maka Dewan Undangan Negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat seksyen 28 EJSS 1995.

‘Dewan Undangan Negeri dan Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa terhadap jenayah persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii kerana kesalahan yang sama termaktub dalam seksyen 377A Kanun Keseksaan.’

Meskipun begitu, Mahkamah Persekutuan berpendapat bahawa Dewan Undangan Negeri masih mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang berkaitan dengan “pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama Islam (creation and punishment of offences by persons professing the religion of Islam against precepts of Islam) mengenai kesalahan yang berkaitan dengan akidah, kesucian agama Islam seperti menghina al-Quran & Hadis dan yang berkaitan dengan moral seperti minum arak, zina dan khalwat yang merupakan kesalahan agama dan lain-lain kesalahan yang tersenarai dalam Senarai II Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan mengambil pendekatan kes Sulaiman Takrib lawan Kerajaan Negeri Terengganu (2008) di mana Tun Abdul Hamid (Ketua Hakim Negara ketika itu) menyatakan bahawa “pewujudan dan penghukuman kesalahan” (creation and punishment of offences) tertakluk kepada:

i) pelaku kesalahan itu mestilah menganut agama Islam;

ii) kesalahan itu bercanggah dengan perintah agama Islam (precepts of Islam);

iii) kesalahan itu tidak tersenarai di bawah Senarai Persekutuan ; dan

iv) hukuman ke atas pesalah tersebut mengikut bidang kuasa jenayah Syariah di bawah seksyen 2 Akta 355 1965 – hukuman tidak lebih 3 tahun penjara, denda tidak lebih RM5 ribu dan tidak lebih enam kali sebatan.

Dalam penghakiman ini, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Negara mengambil pendekatan ini dalam menentukan sama ada pewujudan dan penghukuman kesalahan (creation and punishment of offences) itu, ia mesti memenuhi keempat-empat ciri di atas.

Memandangkan ia tidak memenuhi syarat ketiga iaitu kesalahan itu tidak tersenarai di bawah kuasa Senarai Persekutuan, maka kesalahan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii di dalam seksyen 28 EJSS 1995 adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Tambahan pula,  Dewan Undangan Negeri dan Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa terhadap jenayah persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii kerana kesalahan yang sama termaktub dalam seksyen 377A Kanun Keseksaan.

Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Malaya turut memutuskan bahawa bidang kuasa jenayah Syariah yang diberi kepada negeri dan Mahkamah Syariah adalah bersifat “residual” (baki) dari apa yang tidak diberi kepada persekutuan dan Mahkamah Sivil seperti yang tersenarai dalam Senarai I Senarai Persekutuan.

Tan Sri Azahar menambah bahawa Seksyen 28 EJSS 1955 dan Seksyen 377A Kanun Keseksaan tidak boleh wujud bersama kerana ia boleh menimbulkan diskriminasi yang bercanggah dengan kehendak di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan bahawa seseorang itu adalah sama di sisi undang-undang. Memandangkan terdapat dua hukuman yang berbeza antara dua undang-undang ini,  seksyen 28 EJSS 1995 dianggap mendiskriminasikan Iki Putra kerana hukuman yang dikenakan ke atasnya adalah lebih ringan berbanding dengan hukuman dalam seksyen 377B kerana  beliau telah ditangkap bersama dengan beberapa orang bukan Islam. Ini kerana seksyen 377A terpakai ke atas orang Islam dan bukan Islam dan seksyen 28 EJSS 1995 hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja.

Bagaimana pula sekiranya sepasang lelaki dan wanita yang berumur lebih 16 tahun yang berbeza agama ditangkap melakukan zina dengan kerelaan, individu yang beragama Islam itu akan didakwa di bawah seksyen 25 EJSS 1995 yang boleh dihukum dengan hukuman tidak melebihi tiga tahun penjara, denda tidak melebihi RM 5 ribu dan tidak melebihi enam sebatan. Manakala individu bukan Islam akan terlepas daripada sebarang dakwaan dan hukuman kerana ia tidak merupakan kesalahan di bawah undang-undang sivil. Bukankah ini juga menimbulkan diskriminasi ke atas individu Islam yang bertentangan dengan kehendak Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan?

Nampaknya, pendekatan dalam kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja lawan Ketua Pengarah Penjara Malaysia & Satu Lagi tidak diambil dalam kes Iki Putra. Dalam kes Sukma, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa seksyen 377A Kanun Keseksaan dan seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan 1997 (Akta559) dan kedua-dua mahkamah iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes yang melibatkan liwat. Kedua-dua peruntukan di atas dianggap berperlembagaan (constitutional). Cuma hanya salah satu mahkamah sahaja yang boleh mendengar kes seks luar tabii. Maka sekiranya pendakwaan telah dibawa kepada Mahkamah Sivil, maka ia tidak boleh dibawa ke Mahkamah Syariah bagi kesalahan yang sama. Dari segi hukuman, seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman yang lebih berat iaitu  penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. Manakala bagi hukuman seksyen 25 Akta 559 hukumannya lebih ringan iaitu denda tidak melebihi RM 5 ribu atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau disebat tidak melebihi 6 sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu..

Berikutan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki, ia akan membawa beberapa implikasi terhadap peruntukan kesalahan jenayah Syariah yang lain seperti perbuatan sumbang mahram, pelacuran, hubungan jenis antara orang yang sama jantina dan perbuatan tidak sopan di tempat awam. Kesalahan-kesalahan ini boleh dianggap bercanggah dan berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan seperti yang tersenarai di bawah Senarai 1 Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan.

Justeru itu, pihak berkuasa agama terutama Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil JAKIM dan pihak-pihak lain termasuk Bahagian Undang-undang Syariah & Harmonisasi, Pejabat Peguam Negara dan pihak-pihak terlibat di negeri-negeri perlu melihat kembali peruntukan yang dikatakan “mengambil kuasa” Parlimen. Ini kerana kesalahan tersebut boleh dicabar di Mahkamah Sivil kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan implikasinya ialah terbatal dan tidak sah.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here