FOTO: Kerina yin at ms.wikipedia, Public domain, via Wikimedia Commons

Oleh AMREE AHMAD

MITOS… Belum ada lagi setakat ini data rasmi daripada pihak berwajib tempatan yang dapat mengesahkan kucing bernama Oyen sebagai rekod nama paling popular di Malaysia.

Demikian ditegaskan Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid sambil menjelaskan bahawa apa yang dipaparkan menerusi media sosial ketika ini lebih bersifat publisiti sahaja.

“Saya tidak pernah dengan sebarang laporan sumber rasmi yang memperakui nama Oyen sebagai paling digemari majoriti besar pemilik kucing negara ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas pelbagai hantaran tular dalam kalangan peminat kucing tempatan yang mendakwa Oyen sebagai nama pilihan mamalia comel itu.

Antaranya firma pengeluar produk makanan kucing terbesar dunia, Happy Cat berpangkalan di Jerman yang ditubuhkan sejak 1765 dan mempunyai pejabat di Seri Kembangan, Selangor.

Syarikat yang memiliki cawangan di lebih 80 buah negara itu baru-baru ini menyenaraikan sembilan nama kucing paling popular di Malaysia dengan kedudukan pertama ialah Oyen.

Ini diikuti nama Tam, Putih, Tompok, Comot, Comel, Abu, Bobo dan Adik. Ia berbeza daripada senarai diterbitkan laman sosial terkenal Dunia Kucing Malaysia yang meletakkan nama Atan.

“Karutlah! Saya berpendapat nama Oyen mungkin glamor sebab banyak sangat dicanangkan warganet bagi merujuk kucing dengan sebahagian besar bulu berwarna jingga,” kata Khalid.

Mengulas lanjut, beliau sebaliknya menambah, warna kucing jenis tabby atau domestik yang dibela manusia di rumah paling lazim ialah gabungan tiga warna perang, kelabu dan hitam.

Justeru ujarnya, tidak timbul nama Oyen kecuali sekadar persepsi masyarakat kerana warna jingga secara kebetulan agak nadir dan unik bagi kucing jinak peliharaan di seluruh dunia.

Spesies mamalia karnivor itu atau nama saintifiknya Felis catus, dipercayai mula dijinakkan manusia kuno rantau Asia Barat, Turki dan Mesir sekitar tahun 7500 Sebelum Masihi lagi.

Jumlah kucing di Malaysia dianggarkan hampir cecah 900,000 ekor termasuk jalanan tanpa tuan, yang juga dilindungi di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Akta Binatang 1953.

Kajian firma antarabangsa Dalia Research beberapa tahun lalu mendapati sekitar 40 peratus daripada penduduk negara ini ada memelihara kucing di rumah sendiri secara sepenuh masa.

Ini menjadikan Malaysia berada di tempat keenam di peringkat global daripada 52 negara yang terlibat kajian itu serta unggul di posisi pertama di benua Asia dan rantau Asia Tenggara.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here