KUALA LUMPUR — PKR diingatkan supaya tidak hipokrit dan berlidah cabang dengan menerima wakil rakyat yang lompat daripada Parti Amanah Negara (Amanah), kata Ketua Pemuda Amanah Nasional Shazni Munir Mohd Ithnin.

Menurutnya, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melaksanakan tekad untuk menolak budaya lompat parti sesama komponen (Pakatan Harapan) yang jelas menguntungkan satu pihak sahaja.

“Politik tikam belakang ini usah dibudayakan. Sebagai rakan gabungan dalam Pakatan Harapan (PH), menerima penyertaan wakil-wakil rakyat ini hanya akan menyebabkan hubungan antara parti renggang dan keruh pada kemudian hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shazni Munir berkata PH secara umumnya boleh bersetuju bahawa tindakan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat adalah suatu penghinaan terhadap sistem demokrasi negara kerana ‘membeli dan menjual’ wakil rakyat merupakan budaya bobrok (rosak) yang hina lagi keji.

“Dalam kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung PKR (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) semalam, bertarikh 27 Feb dengan jelas menyebut bahawa parti berkenaan menolak tindakan lompat parti yang bertujuan ingin melemahkan mana-mana parti dalam blok pembangkang.

“Namun ironinya, pada tarikh berkenaan juga dilaporkan media bahawa PKR telah menerima wakil rakyat yang lompat di Johor; setelah bantahan dalaman kami suarakan rentetan kejadian sama berlaku di Selangor sebelum ini,” kata Shazni Munir.

Semalam, media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang Khairuddin A Rahim mengakui beliau bersama dua lagi ADUN Amanah dari Johor, sudah menyertai PKR.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here