Oleh AMREE AHMAD

MENJELANG sehari lagi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin genap setahun menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN), dua Anggota Parlimen dari PKR dilapor berpaling tadah.

Episod ‘lompat katak’ itu mengulangi sejarah dicatatkan awal tahun lalu apabila 11 wakil PKR keluar parti jadi ahli bebas di Dewan Rakyat dan membawa kejatuhan Pakatan Harapan (PH).

PKR memenangi 49 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu sebelum tinggal 38 sahaja dalam gerakan politik yang dikenali sebagai Langkah Sheraton pada akhir Februari tahun lalu.

Kali ini, parti diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim itu hanya tinggal 36 anggota di Dewan Rakyat manakala PN menyaksikan pertambahan kepada 110 ahli termasuk 5 daripada wakil bebas.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN memaklumkan perkara itu menerusi hantaran dalam akaun sosial Facebook rasmi dirinya kira-kira pukul 2.49 petang tadi dengan gambar mereka.

“Hari ini, saya menerima Akuan Bersumpah daripada dua Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada kerajaan PN,” katanya dalam kenyataan ringkas berkenaan.

Beliau kemudian menambah, mereka berdua tersebut ialah Ahli Parlimen Julau dari Sarawak, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau dari Johor, Steven Choong Shiau Yoon.

Muhyiddin menyatakan, akuan itu ditandatangani dan diserahkan kepada beliau selepas sesi pemukiman anggota jemaah menteri sempena setahun kerajaan PN menguasai Putrajaya.

“Alhamdulillah, sokongan ini tentunya akan mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usaha dan perancangan bagi mengurus pandemik Covid-19 serta memangkin ekonomi negara,” katanya.

Namun, berita gembira ini tidak disambut positf warganet walaupun hantaran beliau tersebut meraih 10,000 tanda suka apabila hampir 3,000 komen mengutuk tindakan dua wakil PKR itu.

Ramai netizen tempatan dilihat mengecam keras langkah dua anggota parlimen itu sebagai cuba mempermainkan demokrasi dan mengkhianati amanah rakyat tempat mereka sendiri.

Tidak kurang menyindir Muhyiddin sebagai agak terdesak memerlukan majoriti dalam Dewan Rakyat ketika seluruh negara pula masih lagi dalam perintah Darurat sehingga 1 Ogos depan.

Ia bukan sahaja dianggap tidak beretika, malah kerajaan PN yang wujud ketika ini disifatkan boleh tumbang pada bila-bila masa sahaja dengan mudah apabila dua wakil berpaling tadah.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here