Oleh Ruhanie Ahmad

Kebebasan yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagaat 1948, dan turut dititikberatkan dalam Perlembagaan Malaysia, adalah kebebasan bersyarat.

Namun aspek kebebasan yang sering dipolemik atau dipolitikkan oleh sesetengah pihak di Malaysia adalah kebebasan akhbar dan kebebasan suara.

Cara dan gaya isu ini dibicarakan di Malaysia seolah-olah kebebasan akhbar dan kebebasan suara adalah mutlak, boleh digarap secara semberono dan boleh digandingkan dengan selera politik penentangan halus terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Sebenarnya, Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat menyatakan, setiap individu mempunyai hak kebebasan bersuara dan pendapat, termasuklah kebebasan mempertahankan pendapat tanpa gangguan serta kebebasan memperoleh, menerima dan menyebarkan maklumat serta idea menerusi sebarang media tanpa mengira sempadan.

Namun Perkara 29(2) dalam deklarasi yang sama memaktubkan, dalam melaksanakan seluruh hak dan kebebasan, setiap individu adalah tertakluk kepada sekatan yang ditentukan oleh undang-undang khusus.

Sekatan ini adalah bagi memastikan kesaksamaan terhadap moraliti, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum di dalam suatu masyarakat yang demokratik.

Huraian di atas membuktikan kebebasan akhbar yang dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat adalah kebebasan yang terhad, bersyarat, mempunyai batas dan mempunyai sekatan.

Hakikat ini sering dan sengaja disembunyikan supaya masyarakat umum Malaysia boleh dikelirukan bahawa kebebasan akhbar adalah total.

Huraian ini juga membuktikan nilai-nilai teras sejagat yang dititikberatkan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat adalah kesusilaan, kesejahteraan, ketenteraman, keamanan, keselamatan, kesaksamaan, toleransi, serta pemeliharaan hak dan kebebasan manusia daripada kemusnahan.

Hakikatnya demikian kerana ancaman dan gugatan kepada nilai-nilai teras dunia atau nilai-nilai teras sesebuah negara memang boleh mengancam keselamatan serta menjejaskan kelangsungan sesebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Kebebasan akhbar di Malaysia tidak dimaktubkan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan ini memaktubkan, setiap warganegara adalah bebas bercakap dan mengeluarkan pendapat.

Bagaimanapun, Perkara 10 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa Parlimen boleh dengan undang-undang menyekat kebebasan tersebut demi ketenteraman awam, untuk melindungi keistimewaan-keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Negeri atau untuk mengelakkan penghinaan terhadap mahkamah, fitnah, atau perbuatan mengapi-apikan supaya dilakukan sesuatu kesalahan.

Hakikat sekatan di atas adalah selaras dengan Fasal 29(2) Artikel 29(3) dan Artikel 30 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat. Nilai-nilai teras yang dipertahankan dalam konteks ini adalah keselamatan negara, ketenteraman awam, dan perpaduan rakyat.

Ini membuktikan bahawa sekatan terhadap kebebasan akhbar di Malaysia adalah demi kepentingan negara dan majoriti rakyat jelatanya.

Kebebasan akhbar di Singapura adalah berasaskan falsafah kebebasan akhbar PAP selaku parti pemerintah. Falsafah ini direalisasikan menerusi undang-undang akhbarnya.

Kebebasan akhbar di Indonesia adalah bersumberkan Perkara 28 Perlembagaan Indonesia 1945 yang diperkukuhkan oleh Akta Akhbar 1999.

Perkara ini menyatakan, kebebasan akhbar adalah satu daripada ciri-ciri kedaulatan rakyat berasaskan kepada prinsip-prinsip demokrasi, kesaksamaan dan supremasi undang-undang.

Kebebasan akhbar di Indonesia juga adalah dijamin sebagai hak asasi setiap warganegara, dan akhbar nasional tidak mempunyai tapisan, sekatan atau larangan.

Bagaimanapun, Perlembagaan Indonesia menyatakan, akhbar nasional mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan peristiwa dan pendapat dengan menghormati nilai-nilai agama dan nilai-nilai masyarakat umum.

Mereka juga ”mestilah memainkan peranan menguatkuasakan prinsip-prinsip asas demokrasi, mempromosikan kedaulatan undang-undang dan hak-hak asasi manusia, serta menghormati kepelbagaian”.

Akhbar Indonesia juga mestilah mengembangkan pendapat umum berasaskan kepada maklumat yang benar, tepat dan sah.

Kebebasan akhbar di AS pula bersumberkan the First Amendment (1791) Perlembagaan AS.

Namun kebebasan akhbar di AS juga adalah bersyarat dan “tidak mengatasi keselamatan serta kepentingan negara”.

Pada awal 1990-an Kerajaan AS menggunakan alasan “keselamatan ketenteraan” untuk menyekat kebebasan akhbarnya.

Contohnya, campur tangan ketenteraan AS di beberapa negara, termasuk di Teluk Parsi memberikan kerajaan AS kuasa menggunakan isu “keselamatan ketenteraan” sebagai alasan memperkenalkan satu sistem menyeluruh bagi menapis penyaluran berita mengenai perang terbabit.

Berikutan tragedi 11 September 2001, kerajaan AS pula mengambil langkah yang disifatkan sebagai menjejaskan kebebasan akhbar serta meluluskan Patriot Act yang mengakibatkan pengaliran maklumat di AS telah dikompromikan dan hak rakyat AS untuk mendapatkan maklumat juga turut terjejas.

Seluruh huraian di atas menunjukkan kebebasan akhbar di serata dunia adalah tidak mutlak, bahkan bersyarat serta mempunyai sekatan dan batasan. Ini berlaku di AS selaku juara demokrasi serta di Singapura dan Indonesia selaku jiran Malaysia.

Ini membuktikan kerajaan Malaysia memberikan kebebasan akhbar selaras dengan prinsip dan konsep kebebasan akhbar yang dipelopori oleh Deklarasi Hak Manusia Sejagat, dan selari dengan amalan kebebasan di negara barat dan negara ASEAN.

Lantas, adakah pihak yang kononnya juara kebebasan akhbar di Malaysia menyedari hakikat di atas? Kenapakah kelompok antarabangsa yang memberikan sokongan moral terhadap mereka seolah-olah tidak mahu menerima realiti di atas?

Adakah kerana isu kebebasan akhbar di Malaysia mahu dijadikan bahan mengkucar-kacirkan negara ini dengan motif tertentu, mungkin termasuk neoimperialisme?

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here