FOTO: Ninjastrikers, CC BY-SA 4.0 , via Wikimedia Commons

Oleh Fetty Rara

SEKURANG-kurangnya 18 terbunuh apabila polis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di Myanmar.

Kematian dilaporkan berlaku di beberapa bandar raya, termasuk Yangon, Dawei dan Mandalay setelah polis menembak menggunakan peluru hidup dan gas pemedih mata, lapor bbc.com.

Pasukan keselamatan mula bertindak ganas pada Sabtu lalu untuk mengekang beberapa siri perhimpunan aman membantah rampasan kuasa tentera sejak berminggu di serata negara itu.

Video yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan penunjuk perasaan cuba menyelamatkan diri apabila polis mara ke arah kedudukan mereka untuk memecahkan sekatan jalan raya.

Operasi polis dipertingkatkan lagi semalam (Ahad) berikutan arahan daripada pemimpin kerajaan junta tentera supaya menghentikan semua kempen bantahan yang semakin menjadi-jadi.

Di Amerika Syarikat, Penasihat Keselamatan AS Jake Sullivan berkata pentadbiran Presiden Joe Biden kini sedang bersiap untuk mengambil beberapa tindakan tambahan terhadap puak yang bertanggungjawab melakukan keganasan terbaru itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam beliau berkata AS sedang bekerjasama dengan sekutunya di rantau Indo-Pasifik dan di seluruh dunia untuk mendakwa mereka.

AS telah mengenakan sekatan ke atas kerajaan junta tentera Myanmar sejak rampasan kuasa tersebut.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here