FOTO: Etiqa.

KUALA LUMPUR — Etiqa dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) berhasrat menawarkan saringan kanser payudara percuma untuk 6,000 wanita kurang berkemampuan yang berusia 40 tahun ke atas, menerusi Program Mamogram Percuma Etiqa (Fasa 4).

Menurut kenyataan bersama Etiqa dan NCSM, program di seluruh negara selama setahun itu bernilai RM2.04 juta dan berada di bawah Etiqa Cares, satu komitmen tanggungjawab korporat utama Etiqa ke arah kehidupan yang sihat.

“Ini susulan kejayaan perlaksanaan Program Mamogram Percuma Etiqa Fasa 1, 2 dan 3 dengan sejumlah RM6.53 juta disumbangkan untuk mamogram percuma ini yang memanfaatkan 17,000 wanita kurang berkemampuan di seluruh Semenanjung Malaysia,” tambahnya.

Kenyataan itu memaklumkan, Etiqa dan NCSM terus menyokong aspirasi kerajaan untuk menjangkau seberapa ramai wanita untuk mendaftar dengan program ini, meskipun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan rakyat Malaysia mengetahui kepentingan pengesanan awal penyakit ini.

Etiqa juga akan membantu membawa wanita yang ingin menjalani saringan kemudahan yang disediakan.

Kerjasama ini, yang pertama dilancarkan pada Julai 2017, menyaksikan Etiqa dan NCSM melaksanakan program untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengesanan awal bagi meningkatkan kadar kemandirian kanser payudara dalam kalangan wanita yang kurang berkemampuan.

Kenyataan itu turut memberitahu bahawa NCSM bekerjasama dengan masyarakat setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara untuk mengenal pasti golongan wanita kurang berkemampuan bagi menyertai program mamogram percuma itu.

Wanita yang layak dan pemimpin masyarakat yang berminat boleh menghubungi NCSM di talian 03-2698 7300 untuk maklumat lanjut.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here