ABDUL Halim Kader (kanan) bersalaman dan mengucapkan tahniah kepada Md. Nazarisham Md. Isa yang dilantik sebagai Bendahari baharu Astaf. - Foto Astaf

Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

KUALA LUMPUR – Abdul Halim Kader mengekalkan jawatan sebagai Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) bagi penggal kelima berturut-turut sejak 2004 dengan kemenangan besar 30 undi tanpa balas pada Kongres pemilihan persekutuan itu secara atas talian hari ini.

Beliau beroleh mandat yang meyakinkan daripada para perwakilan lebih 20 negara kerabat Astaf yang menyertai Kongres bagi penggal 2021-2025 menerusi aplikasi Zoom sambil mengalahkan dua pencabarnya, Datuk Seri Ahmad Ismail dan Mohd. Nasri Haron.

Halim, 70, juga merupakan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) manakala kedua-dua calon jawatan No. 1 Astaf itu ialah Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses).

Keputusan pengundian elektronik (e-voting) yang pertama secara norma baharu ekoran pandemik Covid-19 ini juga bererti Malaysia selaku pelopor sukan sepak takraw dengan nama asalnya, sepak raga jaring, tidak lagi mempunyai suara langsung dalam pucuk pimpinan Astaf mahupun Istaf sekarang.

Datuk Abidullah Salleh turut tewas dalam persaingan empat penjuru bagi kerusi Timbalan Presiden Astaf apabila Setiausaha Agung PSM itu dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Indonesia, Asnawi Abdul Rachman gagal memperoleh sebarang undi.

Chalerm Chaiwatcharaporn dari Thailand mempertahankan jawatan nombor dua Astaf itu dengan mendapat 30 undi manakala seorang lagi calon, Yogender Singh Dahiya meraih 29 undi.

Lapan calon Naib Presiden Astaf yang turut dipilih dengan kemenangan besar 30 undi ialah Meas Sarin (Kemboja), Soe Naing (Myanmar), Sohrab Azad Khankandi (Iran), Masaru Misawa (Jepun), Oh Joo-young (Korea Selatan), Syafrizal Bahtiar (Indonesia), Tsai Hung-peng (Taiwan) dan Noushad Ahmed Khan (Pakistan).

Dua lagi calon, Zahid Abdul Aziz dan Hendri Zainuddin masing-masing dari Singapura dan Indonesia kalah tanpa undi.

Mesyuarat Kongres Astaf ini dipengerusikan oleh Setiausaha Agung persekutuan, Boonchai Lorhpipat dari Thailand. Beliau yang juga Timbalan Presiden Istaf, tidak terbabit dalam sebarang perebutan jawatan Majlis Astaf 2021-2025.

Kenyataan media Astaf hari ini menyebut: “Inilah kali pertama Halim menghadapi tentangan bagi jawatan Presiden yang disandangnya sejak 2004. Popularitinya dalam kalangan anggota Astaf tetap utuh hasil dedikasi dan cintanya kepada sepak takraw.”

Kata Halim, “saya mahu terus menumpukan perhatian untuk mempromosi sepak takraw dan meluaskan keanggotaan lebih banyak negara Asia.

“Sehingga hari ini selepas 17 tahun menerajui Astaf, kami berjaya membawa masuk 18 negara baharu dari Asia Barat hingga Timur termasuk tujuh ahli penuh iaitu Macau, Taiwan dan Hong Kong.

“Sasaran Astaf akan datang ialah menghimpunkan sehingga 35 negara yang bermain sepak takraw di Asia ini,” katanya.


MAJLIS ASTAF 2021-2025

Presiden: Abdul Halim Kader (Singapura).

Timbalan Presiden: Chalerm Chaiwatcharaporn (Thailand) dan Yogender Singh Dahiya (India).

Naib Presiden: Meas Sarin (Kemboja), Soe Naing (Myanmar), Sohrab Azad Khankandi (Iran), Masaru Misawa (Jepun), Oh Joo-young (Korea Selatan), Syafrizal Bahtiar (Indonesia), Tsai Hung-peng (Taiwan) dan Noushad Ahmed Khan (Pakistan).

Ahli Majlis: Le Hong Tinh (Vietnam), Samaranyake Abeykoonge Kingsley Chareendra De Silva (Sri Lanka), Safaa Sahib Nayyef Alnawafali (Iraq), Kasem Inthara (Laos), Chan Wai Yuen (Hong Kong), Un Oi Mou (Macau), Abdulaziz Albusaidi (Oman), Netra Prasad Gurung (Nepal), Mohammed Faruque Dhali (Bangladesh) dan Mohammad Yasin Mohammadi (Afghanistan).

Setiausaha Agung: Boonchai Lorhpipat (Thailand)*

Timbalan Setiausaha Agung: Muhammad Fariq Abdul Halim (Singapura)*

Penolong Setiausaha Agung: (Akan dilantik)

Bendahari: Md. Nazarisham Md. Isa (Singapura)*

Penolong Bendahari: Amirah Mohd. Ismail (Singapura)*

* Jawatan lantikan
– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here