Oleh Ahmad Abd Hamid

Dunia, dunia. Berniaga manusia lagi untung daripada unta”. Dialog ini petikan daripada filem Tiga Abdul arahan Tan Sri P Ramlee keluaran 1964. Allahyarham sendiri menjadi pelakon utama selain Sarimah, S. Kadarisman dan Haji Mahadi.

Tiada lagi jual beli hamba atau khadam seperti digambarkan dalam filem itu seperti mana realiti dunia hari ini. Tetapi yang masih ada ialah kegiatan pemerdagangan manusia, kegiatan haram  yang menjanjikan pendapatan sangat lumayan.

Tetapi di Malaysia, aktiviti haram ini jarang kedengaran kerana pihak berkuasa sentiasa rapi memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

Yang rancak berlaku kebelakangan ini ialah kegiatan lompat parti. Meriah sungguh aktiviti ini dalam suasana parlimen dibenarkan bersidang pada waktu darurat sekarang, ditambah pilihan raya pula dijangka diadakan sebaik pandemik Covid-19 reda.

“Wakil rakyat dilihat sebagai ‘komoditi’ sangat berharga dalam tawar menawar menukar parti atau sokongan”

Justeru wakil rakyat dilihat sebagai ‘komoditi’ sangat berharga dalam tawar menawar menukar parti atau sokongan, sama ada melompat menyokong parti kerajaan atau melompat parti di kalangan sesama pembangkang. Adakah ini boleh dikategorikan sebagai perdagangan juga?

Tidak pernah didedah apa dorongan atau ganjaran yang mengiringi lompat melompat ini. Adakah wang atau kedudukan? Pelbagai andaian dibuat tetapi biasanya mereka yang terlibat hanya berkata ia demi kepentingan rakyat. Kasihan rakyat yang tidak tahu apa-apa tetapi nama mereka digunakan.

Terbaharu dua Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), Larry Sng Wei Shien dari Julau dan Steven Choong Shiau Yoon dari Tebrau, mengisytiharkan keluar parti dan menyerahkan akuan bersumpah menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada Presiden Bersatu yang juga perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini merupakan satu lagi episod duka kepada PKR yang sebelum ini kehilangan 11 kerusi selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 apabila 11 wakil rakyatnya keluar parti menjadi wakil Bebas sebelum menyertai Bersatu.

Dengan sokongan ini menjadikan jumlah majoriti PN juga bertambah. Kerusi parlimen PKR di parlimen pula berkurang. Memenangi 49 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, kini ia hanya mempunyai 36 wakil.

“Sewaktu hendak menghadapi pilihan raya, rakyat dipujuk mengundi mereka dengan pelbagai janji”

Selain itu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Johor yang mewakili parti Amanah pula berpaling tadah menyertai PKR. Mereka ialah Khairuddin A Rahim, Faizul Amri Adnan dan Muhamad Said Jonit, masing-masing ADUN Senggarang, Serom dan Mahkota.

Tutur bertukar kapal ialah ADUN Sebatik, Sabah, Hassan Amir Gani. Wakil Warisan itu keluar parti menyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai oleh Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan meminta Hassan mengosongkan kerusi dengan menggunakan surat yang beliau tanda tangani sebelum diumumkan menjadi calon. Surat itu akan diserahkan kepada Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim Yahya dan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin serta Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR).

Begitulah meriahnya senario lompat parti sekarang. Kemungkinannya ia tidak berhenti setakat ini. Di pihak kerajaan sendiri tentunya sedia menerima dengan tangan terbuka jika ada wakil rakyat lain yang ingin menyertai PN kerana ia bermakna mengukuhkan kerajaan.

Keadaan ini difahami. Namun yang mungkin akan menimbulkan rasa ingin tahu ialah perpindahan di kalangan anggota parti dalam pakatan pembangkang yang pernah menerajui Pakatan Harapan (PH).

“Wakil-wakil rakyat ini sesuka hati bertukar kapal dengan mengambil kira di kapal mana nasib mereka lebih baik, atau lebih menguntungkan.”

Apakah signifikan mereka berbuat demikian kerana sekadar melompat di kalangan komponen parti pembangkang? Pastinya mereka mempunyai perkiraan tersendiri, keuntungan politik misalnya. Yang pasti, persetujuan untuk tidak pancing memancing di kalangan parti pembangkang sudah berkecai, tidak lagi dihormati.

Yang kecewa dan tertipu ialah rakyat yang mengundi meletakkan wakil-wakil rakyat ini pada kedudukan mereka. Setelah dipilih dengan mandat rakyat, mereka mempersendakan mandat tersebut dengan bertukar parti sesuka hati.

Sewaktu hendak menghadapi pilihan raya, rakyat dipujuk mengundi mereka dengan pelbagai janji. Sayangnya apabila sudah berjaya, mereka tidak mempedulikan malah memperdayakan amanah rakyat.

Wakil-wakil rakyat ini sesuka hati bertukar kapal dengan mengambil kira di kapal mana nasib mereka lebih baik, atau lebih menguntungkan. Slogan berbakti untuk rakyat telah bertukar kepada berbakti untuk diri sendiri.

Gejala ini akan berterusan, sukar dibendung. Wakil rakyat akan terus melompat kerana mereka bebas melakukannya, tanpa sekatan undang-undang. Sudah kerap kali disuarakan perlunya diwujudkan Undang-Undang Anti Lompat bagi mengekang kegiatan yang dianggap tidak bermaruah ini. Namun ia masih belum menjadi kenyataan.

Ini mungkin kerana parti-parti politik sendiri masih berbelah bahagi. Penguatkuasaan undang-undang bakal menyekat lompat melompat sedangkan parti-parti politik lebih selesa dengan keadaan terbuka sekarang. Ini kerana mereka mungkin masih memerlukan lompat melompat di masa hadapan, sama ada untuk mengukuhkan kerajaan atau memperkuat kedudukan parti-parti tertentu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here