Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan gambar suspek yang mengaku bergelar Datuk Seri dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini

JOHOR BAHRU – Tindakan seorang lelaki yang menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ dipercayai tidak diiktiraf terbongkar apabila dia dan seorang rakannya ditahan polis selepas melakukan pemerasan dalam kejadian di kawasan Seri Alam, 22 Februari lalu.

Datuk Seri yang berusia 56 tahun itu dan rakannya berusia 41 tahun turut ditahan bagi kesalahan mengugut pegawai polis yang menangkap mereka ketika diberkas pada pukul 8.30 malam, Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam kejadian itu, suspek tersebut melakukan pemerasan ketika meminta mangsa berusia dalam lingkungan 50-an membayar sejumlah hutang dengan kekerasan.

“Berikutan aduan tersebut, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan membuat tangkapan terhadap dua orang suspek tiga hari kemudian.

“Ketika ditahan, suspek yang mengaku bergelar Datuk Seri sempat mengugut seorang pegawai polis terbabit.

“Datuk Seri itu berkata, ‘tuan tangkap saya, saya akan porak-perandakan semua balai polis dan hidup tuan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, suspek yang merupakan peniaga besi buruk itu ditahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut pegawai polis yang menangkapnya.

Hasil semakan rekod, lelaki yang mengaku sebagai Datuk Seri, namun gelaran itu dipercayai tidak diiktiraf mempunyai 23 rekod jenayah lampau berunsur jenayah kekerasan.

Suspek juga pernah dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat sebanyak dua kali dan ditahan di Simpang Renggam, Johor dan Pulau Jerejak, Pulau Pinang sekitar tahun 80-an serta 90-an.

Ditanya sama ada suspek merupakan ahli parti politik, Ayob Khan memberitahu, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut mengenainya. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here