Ihsan Malaysian Reserve

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mensasarkan agihan keuntungan yang lebih stabil pada masa hadapan selaras dengan matlamat penubuhannya untuk mengurus wang umat islam bagi mengerjakan ibadah haji.

Kadar pulangan yang lebih lestari adalah sangat penting kerana bakal jemaah haji Malaysia perlu menunggu giliran menunaikan haji disebabkan kuota haji yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dalam kenyataannya di sini berkata: “Inilah amanah kami yang paling besar. Bagaimana kami perlu memastikan kelangsungan TH lebih 100 tahun lagi untuk para jemaah melengkapkan agama.
“Ini bermakna keselamatan pelaburan amat penting dan TH tidak boleh mengambil risiko yang terlalu tinggi, lebih lebih lagi dengan kesan penyusutan ekonomi negara dan dunia disebabkan pandemik Covid-19 pada tahun lalu,” kata beliau.

Katanya, TH akan terus bekerja keras mencari peluang pelaburan untuk mencapai pulangan yang terbaik walaupun berdepan keadaan pasaran pelaburan yang mencabar.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zulkifli Mohamad A-Bakri mengumumkan TH mencatat kadar dividen sebanyak 3.10 peratus selepas zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 melibatkan agihan sebanyak RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada tahun 2019.

Nik Mohd Hasyudeen berkata: “Keuntungan yang dicapai oleh TH didorong oleh prestasi dan kedudukan kewangan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya, selain langkah
pengurusan kos yang berhemah.”

“Agihan keuntungan tahun 2020 ini juga adalah lebih kompetitif jika dibandingkan dengan pulangan daripada akaun simpanan tetap di perbankan Islam. Sebagai perbandingan, purata kadar deposit runcit perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan ialah 2.56 peratus” jelas beliau.

Beliau menambah, TH juga akan terus mengimbangi semula portfolio pelaburan khususnya bagi memberi pulangan lebih baik. Ini termasuklah memberi penekanan yang lebih kepada pelaburan luar negara dan pelaburan berlandaskan ESG (environmental, social and governance) yang terus menjadi perhatian banyak pelabur hari ini.

Nik Mohd Hasyudeen berkata TH menjangkakan operasi persekitaran lebih mencabar pada tahun 2021 dengan menyaksikan pelabur terus mencari pulangan yang tinggi meskipun keadaan ekonomi masih lemah. Namun langkah pelbagai negara, termasuk Malaysia, untuk memastikan rakyat mendapat vaksin covid-19 dijangka akan dapat membantu meneruskan usaha pemulihan ekonomi. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here