Oleh AKASIA ABDULLAH

KUALA LUMPUR – UMNO masih lagi parti yang sah apabila Mahkamah Persekutuan, Putrajaya menolak rayuan 16 bekas ahli parti itu yang berhasrat untuk mencabar kesahan parti itu yang dikatakan telah terbubar apabila penangguhan pemilihan parti berlanjutan melebihi masa yang ditetapkan.

Panel dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed sebulat suara menolak rayuan tersebut kerana permohonan tersebut menjadi akademik ekoran ia difailkan oleh mereka yang bukan lagi ahli parti tersebut.

Enam belas bekas anggota Umno itu ialah Salihudin Ahmad Khalid, Noorhalimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharudin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Rafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad dan Muhamad Hafizi Hashim.

Pada 27 April 2018, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan kumpulan itu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman dan mereka juga gagal di peringkat Mahkamah Rayuan pada November 2018.

Tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada mereka untuk meneruskan rayuan berhubung dua persoalan perundangan.

Dua persoalan itu aialah sama ada seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 yang menyisihkan bidang kuasa mana-mana mahkamah untuk melayani sebarang kes saman, permohonan, persoalan atau prosiding dalam sebarang perkara berkaitan hal ehwal parti, adalah ultra vires (melampaui bidang kuasa) Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Satu persoalan lagi adalah sama ada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Pendaftar Pertubuhan lwn Datuk Justine Jinggut adalah undang-undang yang masih berkuat kuasa berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini dalam kes Semenyih Jaya Sdn Bhd lwn Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat selain kes M Indira Gandhi lwn Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan lain-lain.

Mengikut undang-undang, pihak yang berhasrat merayu keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes sivil, perlu mendapatkan kebenaran dari Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu.

Dalam permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman, kesemua 16 bekas anggota Umno itu memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) seperti yang diumumkan menerusi kenyataan media bertarikh 5 Mac 2018, dalam memberi Umno perlanjutan tempoh untuk mengadakan pemilihan parti sehingga 19 April 2019, yang melepasi tempoh maksimum.

Mereka selanjutnya memohon perintah mandamus untuk mendesak RoS membubarkan sementara Umno dan bagi RoS menggantung semua aktiviti Umno sehingga selesai semakan kehakiman itu.

Kumpulan itu juga memohon perisytiharan bahawa Umno merupakan parti yang tidak sah berkuat kuasa 20 April 2018.

Pada 27 April 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman atas alasan ia tiada bidang kuasa untuk mendengar perkara membabitkan pertikaian ahli dalam parti politik dan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 menetapkan, keputusan parti politik atau perkara membabitkan hal ehwal perjalanan parti adalah muktamad, tidak boleh dicabar, dirayu, disemak, dibatalkan atau dipertikaikan di mana-mana mahkamah.

Mahkamah Rayuan pada 5 November 2019, mengekalkan keputusan itu.– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here