BANTING – Bertindak hasil maklumat risikan dari Unit Penguatkuasaan, Syarikat Air Selangor Sdn. Bhd. (AIS) dan Bahagian Penguatkuasaan SPAN telah menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu di sebuah tapak kebun sayur di Banting, Negeri Selangor bagi mencegah aktiviti penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang.

Hasil siasatan di tapak menemui satu sambungan paip tanpa menggunakan meter yang disyaki digunakan bagi tujuan siraman tanaman sayuran dan kegunaan di rumah kongsi pekerja kebun sayur tersebut.

Menurut kenyataan SPAN di laman sosial Facebook, tindakan pemotongan bekalan air yang diperolehi secara tidak sah tersebut telah diambil serta-merta dan pihak yang bertanggungjawab akan dipanggil untuk memberi keterangan dan berdepan tindakan perundangan.

Pihak SPAN sentiasa komited menjalin kerjasama berterusan bersama operator bekalan air bagi mencegah aktiviti penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang yang menjadi penyumbang kepada kadar *Non- Revenue Water (NRW)*.

Kesalahan membuat penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang dari sesalur utama awam boleh disiasat di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] yang mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda sebanyak tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebarang aduan atau maklumat berkenaan penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang para pengguna boleh menghubungi talian 03-8317 9333 atau emel [email protected]

Bebasnews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here