ISKANDAR PUTERI – Golongan ceti haram atau ah long seakan-akan tidak boleh dipisahkan dengan tindakan ganas dan pemerasan.

Walaupun pelbagai tindakan tegas diambil pihak berkuasa untuk membanterasnya, namun kumpulan ah long tetap melakukan kekerasan bagi mendapatkan semula bayaran balik daripada peminjam mereka.

Terbaharu, seorang suri rumah terkejut apabila kereta dan pekarangan rumah keluarganya disimbah dengan cat merah, dilakukan oleh tiga lelaki, semalam.

Lebih menakutkan, dia menjumpai sehelai nota ugutan dengan tulisan tangan.

Sebelum kejadian, mangsa yang berusia 42 tahun mendakwa ternampak seorang daripada tiga lelaki menyimbah cat merah dari pagar rumahnya di Taman Nusa Indah, di sini pada pukul 10.05 malam.

Sebelum beredar mereka meninggalkan sekeping nota yang bertulis ‘phari mala devi today paint tomorrow fire!’.

Sejurus kejadian, mangsa segera memberitahu pengawal keselamatan di pintu masuk taman itu sebelum kereta dinaiki tiga suspek berkenaan dihalang daripada melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pengawal keselamatan itu segera menghubungi pihak polis sebelum pihaknya berjaya memberkas ketiga-tiga lelaki tersebut.

“Dua daripada daripada suspek yang berusia 17 dan 18 tahun bekerja sebagai tukang masak dan tukang gunting rambut, manakala seorang lagi penganggur.

“Semakan mendapati, masing-masing suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau, namun ujian air kencing mereka semuanya negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pihak polis turut merampas sebuah kereta Proton Saga dan dua paket plastik berisi cecair cat merah daripada suspek.

Kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here