AZIZUDDIN Khan Omar Khan (barisan tengah, dua dari kanan) selaku ketua jurulatih sepak takraw Malaysia dalam Sukan Asia Bangkok 1998. - Foto MOM.
Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

SEORANG anak bekas jurulatih negara, Allahyarham Azizuddin Khan Omar Khan yang meninggal dunia Sabtu lalu turut mewarisi bakat dan kemahiran sepak takrawnya malah pernah menonjol sehingga Sukan Malaysia (Sukma).

Ahmad Raqiib Khan, 38, membantu negeri kelahirannya, Pulau Pinang meraih pingat gangsa acara regu berpasukan Sukma 2004 di Negeri Sembilan.

“Antara 2002 hingga 2004 ketika masih berusia 18 hingga 21 tahun saya terpilih mewakili Pulau Pinang. Selain Sukma, saya juga pernah dapat naib juara Kejohanan Belia Kebangsaan di Pasir Gudang, Johor.

“Saya bermain di posisi apit kanan atau perejam. Pukul backstroke (kalih) boleh, gulung pun boleh ketika itu,” katanya yang kini menjadi peniaga di Pasir Gudang.

Raqiib merupakan anak kelima Allahyarham daripada enam orang yang berusia antara 27 hingga 54 tahun dengan abang sulungnya ialah Azham Khan. Allahyarham juga mempunyai 20 cucu.

Azizuddin menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya di Taman Free School, Georgetown, Pulau Pinang kira-kira pukul 4.15 pagi akibat sakit tua pada usia 83 tahun.

Allahyarham pernah menjadi ketua jurulatih skuad negara yang memenangi dua pingat perak regu berpasukan dan antara regu serta sebutir pingat gangsa bulatan Sukan Asia Bangkok 1998.

Pemain-pemain handalan Malaysia didikannya termasuk Rommi Suhendra Norsal, Mohd. Nasir Ismail, Zabidi Shariff, Jamry Ederis, Zahar Ismail, Iskandar Arshad, Suhaimi Abdul Rahman, Ahmad Ezzat Zaki dan Noor Hisham Ghani.

Azizuddin juga bertauliah dan berpengalaman sebagai pengadil ketika sepak raga jaring (kemudiannya sepak takraw) mula dipertandingkan pada Kejohanan Sepak Raga Jaring Antara Negeri-negeri Piala Emas Khir Johari, 1962 dan Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965.

AHMAD Raqiib Khan, satu-satunya anak yang mewarisi bakat sepak takraw Allahyarham Azizuddin Khan Omar Khan. – Foto FB Raqiib.

Kata Raqiib, “turut bersama saya dalam skuad belia Pulau Pinang 2002-2004 ialah Azlan Mubin, bekas pelibas gulung kidal Malaysia yang kini menjadi pengulas sukan TV.

“Arwah ayah banyak tunjuk ajarkan saya tentang cara merejam dan kawalan bola serta mematahkan servis lawan yang berkesan,” katanya kepada BebasNews.

“Abang ipar saya, Nazar namanya juga bermain sebagai perejam dengan sebuah jabatan kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Sekarang saya hanya meniaga. Sudah tinggalkan lama sukan ini. Kalau ada pun mengikuti sepak takraw sebagai penonton sahaja melalui TV dan media.

“Berhenti pun dulu ada sebab yang berkaitan kecederaan. Dalam satu liga TV beberapa tahun lalu, saya cukup minat dengan seorang pelibas import Pulau Pinang dari Thailand.

“(Aekkasit Naphom) cara terbangnya memang tinggi dan suka ambil bola atas apabila merejam gulung.

“Memang susah pemain lawan hendak blocking rejamannya. Pukulannya pula bersih, jarang yang terbuang keluar atau sangkut jaring,” kata Raqiib.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here