Hussain Yusri Zawawi
Oleh Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang Pembiayaan Dana Politik perlu diluluskan segera di Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang. Ini kerana telah tiba masanya maruah Malaysia perlu dikembalikan dengan lebih bersih dan telus daripada ancaman kewangan politik yang digunakan untuk kepentingan meraih simpati dan undi serta kedudukan.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr. Hussain Yusri Zawawi, negara perlu mengambil pengajaran daripada ahli-ahli politik yang telah dihadapkan di Mahkamah atas isu dana politik yang telah disalahgunakan untuk tujuan tertentu.

“Jika Rang Undang-undang Pembiayaan Dana Politik diluluskan segera maka parti-parti politik yang sedia ada dan bakal ditubuhkan perlu berhati-hati kerana segala dana yang diterima perlu dinyatakan sumber dan tujuannya bagi mengatasi masalah rasuah serta salah guna.

“Dengan peralihan kuasa politik yang baharu dan impian hasrat rakyat yang inginkan perubahan terbaik maka Malaysia perlu bergerak seiring dengan negara-negara yang lain seperti New Zealand dan Denmark walaupun agak sukar dicapai namun perlunya usaha yang lebih serius daripada pihak kerajaan bagi mengurangkan kadar rasuah politik melalui kuatkuasa Rang Undang-undang Pembiayaan Dana Politik,” katanya kepada BebasNews.

Tambah beliau, jika kerajaan Malaysia lambat bertindak maka ianya memberi kesan negatif yang sangat besar dalam konteks Indeks Persepsi Rasuah (CPI) apatah lagi Malaysia sekarang berdepan dengan situasi politik dan ekonomi yang tidak stabil yang boleh mengundang salah laku etika politik dalam negara demokrasi.

“Pelaksanaan ini juga perlu diteliti dengan lebih mendalam termasuk dengan badan-badan kerajaan yang berkaitan supaya perjalanan Rang Undang-undang Pembiayaan Dana Politik dapat dikuatkuasa dengan lebih jelas tanpa kelompongan tertentu.

“Adalah besar harapan kami rakyat Malaysia mahukan sistem demokrasi dapat dicorak dengan lebih baik dan mempunyai ahli-ahli politik yang berintegriti yang mampu mentadbir Malaysia dengan penuh amanah dan tanggungjawab,” jelasnya. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here