MENARIK untuk dinantikan apakah ‘jawapan’ Majlis Tertinggi (MT) Bersatu berhubung pendirian MT UMNO mengenai kerjasama politik dan kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Biro politik Bersatu telah ambil maklum mengenai pendirian UMNO, satu pendirian yang bukannya sesuatu yang baharu, sebaliknya sudah diketahui umum walaupun tanpa surat rasmi. Cuma ada yang buat-buat tidak tahu.

Mungkin jawapannya “Bersatu menghormati pendirian UMNO” berhubung :
i : Tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 dan
ii: Kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Perkara atau pendirian kedua sudah tentu melegakan kerana kerajaan PN tidak akan tumbang selagi UMNO bersama. Itu satu ‘pengorbanan’ UMNO untuk memastikan kerajaan terus stabil sehingga PRU akan datang atau sehingga Covid-19 reda.

Dalam hal ini Bersatu perlu membalas semula ‘pengorbanan’ UMNO ini untuk mencari jalan keluar kepada pendirian pertama.

Sebarang keputusan atau jawapan Bersatu hari ini sudah tentu belum dapat merungkai masalah untuk melihat bagaimana parti Melayu boleh bersatu semasa PRU kerana Bersatu dan UMNO mempunyai rakan politik yang sama iaitu Pas.

Justeru pendirian atau jawapan Bersatu itu juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang bersama parti komponen, Pas, Star, SAPP dan Gerakan.

Bagaimana pula dengan Muafakat Nasional (MN) yang turut dianggotai Pas?
Melalui PN, setakat ini Pas akan bekerjasama dengan Bersatu dan melalui MN juga Pas akan bersama UMNO (setakat hari ini 4 Mac).

Nampaknya Pas mempunyai ‘peranan besar’ sama ada dalam MN atau PN untuk menstabilkan keadaan sementara parti lain boleh sahaja mengikut arus atau tiupan angin. Mungkin Pas juga akhirnya boleh mengikut ‘angin’?

Apa pun Pas dan UMNO sudah mempunyai pengalaman kerjasama menghadapi pilihan raya kecil (PRK) termasuk berdepan dengan Bersatu ketika parti itu bersama dalam Pakatan Harapan (PH).

PN nampak lebih bermaya kerana membawa nama kerajaan manakala MN sekadar gagasan politik yang terbentuk setelah UMNO dan Pas menginsafi bahawa kuasa politik Melayu dan umat Islam semakin lemah akibat perpecahan selepas PRU lalu.

Bersatu pula nampak gagah kerana presiden parti itu adalah Perdana Menteri sedangkan realitinya Bersatu asalnya hanya menang 13 kerusi Parlimen.

Jika kuasa politik Melayu menjadi teras penubuhan MN, maka UMNO dan Pas tidak boleh melupakan Bersatu begitu sahaja. Ketiga-tiga parti ini perlu merungkaikan masalah yang menjadi punca ketidaksepakatan ini.

Punca utama pastinya soal kerusi. Masih berlaku rebutan. Lebih sulit di negeri yang pernah dikuasai UMNO, kerusi itu ‘hilang’ kepada Pas, Bersatu atau PKR dan Amanah. Adakah UMNO dan Pas sudah ada formula?

Pas tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada PRU lalu kecuali di negeri tertentu. Tidak berlaku gelombang lompat parti dalam Pas seperti berlaku kepada UMNO.

Pada masa yang sama kerusi yang ditandingi dan dimenangi Amanah juga boleh diintai semula untuk ditandingi oleh Pas.

Masalahnya adalah UMNO apabila wakil rakyatnya melompat parti menyertai Bersatu dan khabarnya akan ditandingi Bersatu. Inilah punca ‘kemarahan’ untuk tidak bekerjasama walaupun belum ada pengumuman rasmi mengenainya.

Dalam hal ini Bersatu perlu bersedia ‘menyerahkan semula’ kerusi yang dibawa lari itu dan fokus kepada 13 kerusi yang dimenangi sebelum ini. Bersatu juga memainkan peranan untuk menstabilkan keadaan berhubung kerusi ini.

Namun pada masa yang sama, apa pula pilihan Pas? Adakah bersama Bersatu atau UMNO? Pas mahu kedua-duanya bagi memastikan undi Melayu tetap dalam kelompok parti yang membentuk MN dan PN.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here