AHLI Parlimen (PKR) Sekijang Natrah Ismail berkata dua individu termasuk seorang yang bergelar ‘Datuk Seri’ telah mengunjungi dirinya semalam.

“Dalam pertemuan itu, mereka menceritakan bagaimana saya telah melakukan kerja yang baik di Sekijang dan keinginan mereka untuk membantu saya meneruskan usaha sebagai seorang ahli parlimen.

“Mereka bertanya apakah saya berminat untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, serta manfaat yang boleh diperoleh dengan pemberian sokongan tersebut.

“Saya dengan terang dan jelas menjawab bahawa saya tidak berminat untuk menyokong Muhyiddin Yassin dan menolak tawaran mereka,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Nathrah tidak mendedahkan lanjut identiti dua individu yang mengunjunginya itu atau butiran tawaran yang diterimanya jika menyokong kerajaan PN.

‘Ahli parlimen Sekijang berkata tiada erti jika dirinya berpaling tadah daripada perjuangan reformasi.’

‘Langkah terancang terus berjalan’

Ahli parlimen Sekijang berkata tiada erti jika dirinya berpaling tadah daripada perjuangan reformasi.

“Saya telah melaporkan perkara ini kepada pucuk pimpinan PKR. Ini kerana saya percaya usaha jahat untuk menawar habuan dan jawatan atau mendesak serta mengugut ahli-ahli parlimen PKR serta pembangkang amnya terus berjalan.

“Jelas kerajaan minoriti hari ini bersedia melakukan apa sahaja,” kata Natrah lagi.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pada 27 Feb lalu mendakwa wujud langkah terancang oleh pihak tertentu untuk melemahkan kekuatan wakil rakyat terutama ahli-ahli parlimen pembangkang termasuk dari kalangan PKR.

Saifuddin berkata PKR mengecam langkah terdesak untuk membuatkan wakil rakyat PKR “keluar parti menjadi bebas atau menyertai parti kerajaan,” sama ada melalui ugutan mahupun habuan.

Bagaimanapun, setiausaha agung PKR itu tidak menjelaskan secara terperinci ‘pihak tertentu’ yang didakwanya itu.

Kemudian pada 28 Feb, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon dilaporkan menyokong kerajaan PN melalui akuan bersumpah yang diserahkan kepada Muhyiddin.

Meskipun kehilangan dua ahli parlimen, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, Muhyiddin masih gagal meraih majoriti sokongan dalam Dewan Rakyat.

Pada Disember lalu, Perikatan Nasional meluluskan Belanjawan 2021 dengan 111 undi- majoriti tipis daripada 220 anggota Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, masih tidak jelas jika ahli parlimen Umno akan kekal menyokong kerajaan sekiranya Dewan Rakyat bersidang kembali.

Ini selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamid mengutus surat kepada Perdana Menteri dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Surat tersebut memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi Umno bahawa “tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15” dan kebersamaan Umno “dalam kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran parlimen.”

https://bit.ly/2NZFCSK

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here