KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) mencatatkan prestasi keseluruhan yang stabil pada tahun 2020 walaupun terpaksa berhadapan dengan pasaran kewangan global yang tidak menentu serta persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan akibat pandemik COVID-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, dana kekayaan berdaulat Malaysia ini berkata keuntungan daripada operasi yang dicatatkannya menyusut kepada RM2.9 bilion berbanding RM7.4 bilion pada tahun 2019.

Ia menambah, sungguhpun pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburannya meningkat kepada RM5.2 bilion daripada RM3.8 bilion, Khazanah meraih hasil pelupusan yang lebih rendah pada tahun 2020 iaitu RM2.7 bilion berbanding RM9.9 bilion pada tahun 2019.

Kesan daripada pandemik COVID-19 turut menyaksikan peruntukan bagi rosot nilai meningkat kepada RM6.0 bilion, terutamanya bagi aset penerbangan dan perhotelan miliknya, berbanding RM4.9 bilion pada tahun sebelumnya, jelas Khazanah.

Bagi tahun 2020, Khazanah mengisytiharkan dividen RM2.0 bilion kepada Kerajaan Malaysia

“Prestasi kami pada tahun 2020 dicapai berlatarbelakangkan suasana ekonomi yang mencabar serta impak pandemik COVID-19 yang belum pernah dilalui sebelum ini ke atas operasi.

“Namun begitu, usaha yang kami mulakan beberapa tahun lepas telah banyak membantu kami untuk mengharungi ketidaktentuan ekonomi,” kata Pengarah Urusan Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Beliau berkata Khazanah juga telah mengenal pasti beberapa peluang pelaburan yang baik ketika berada dalam tempoh pandemik ini serta ketidakstabilan pasaran akibat daripadanya.

“Khazanah terus mempelbagaikan portfolio globalnya sambil kami membina nilai mampan untuk Malaysia, selari dengan mandat jangka panjang kami,” tambah beliau.

Khazanah berkata kedudukan kewangannya kekal kukuh dengan jumlah hutang dikurangkan sebanyak enam peratus kepada RM43.1 bilion daripada RM45.8 bilion pada tahun 2019, sementara Nilai Aset Boleh Tunai (RAV) susut sedikit kepada 2.9 kali ganda berbanding 3.0 kali ganda.

Pada akhir 2020, RAV Dana Komersial berada pada RM95.3 bilion sementara portfolio Dana Strategik ialah pada RM27.9 bilion.

Khazanah berkata pelbagai langkah terpaksa diambil untuk mengekang penyebaran COVID-19 yang telah mengakibatkan sektor pelancongan, perhotelan dan penerbangan menerima kesan paling ketara.

Khazanah terpaksa memperuntukkan rosot nilai bagi beberapa aset miliknya, iaitu RM3.1 bilion untuk syarikat induk MAB, Malaysia Aviation Group Bhd (MAGB) dan RM1.8 bilion untuk Themed Attractions Resorts & Hotels bagi megurangkan impak akibat pandemik ini.

Meninjau ke hadapan, Shahril berkata tahun 2021 akan terus menjadi tempoh yang mencabar.

“Meskipun Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah bermula, proses vaksinasi di Malaysia dan di seluruh dunia akan memakan masa,” katanya sambil menambah, “Dalam sektor utama seperti penerbangan dan pelancongan, kami tidak menjangkakan pemulihan sepenuhnya berlaku sebelum tahun 2023”.

Dalam memastikan Khazanah terus berhemah dan berwaspada dalam mengharungi tempoh yang mencabar ini, ia telah mengenal pasti lima Keutamaan Strategik untuk tahun yang mendatang.

Shahril Ridza berkata keutamaan ini merangkumi meningkatkan pulangan komersial, menyampaikan nilai yang memberi kesan ketara melalui pelaburan strategik, menjadi organisasi yang bertanggungjawab dengan menyematkan pertimbangan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam semua aktiviti pelaburan, membina asas digital dan teknologi yang kukuh dan akhir sekali, melabur dalam warga kerja bagi melahirkan budaya prestasi dan kerjasama yang tinggi.

“Dalam kami terus mengembangkan portfolio aset global untuk mengelak daripada kebergantungan pada sumber pendapatan domestik, kami berharap Malaysia secara keseluruhannya akan bergerak ke arah percambahan ekonominya serta meningkatkan usaha memudahkan pembukaan perniagaan, termasuk usaha penyahseliaan yang berterusan.

“Ini akan mewujudkan ekonomi lebih berdaya tahan dan pelbagai yang seterusnya akan dapat membantu negara berhadapan kejutan negatif pada masa depan. Sebagai dana kekayaan berdaulat Malaysia, Khazanah akan terus menumpukan usaha pada pelaburan yang akan menghasilkan nilai mampan bagi semua rakyat Malaysia,” kata beliau.

– BERNAMA

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here