Foto dari FB Tentera Laut Diraja Malaysia

KOTA KINABALU – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpangkalan di Teluk Sepanggar di sini hari ini melancarkan Skuadron 601 iaitu Skuadron Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) ScanEagle.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dengan turut dihadiri wakil kedutaan Amerika Syarikat (AS) Atase Pertahanan Kanan Kapten Muhammad Muzzafar Feroze Khan.

Mohd Reza berkata pada peringkat awal ini, UAS ScanEagle akan beroperasi di daratan sebagai fasa latihan kepada pengendali untuk memahirkan diri dalam sistem tersebut sebelum ditempatkan di atas kapal-kapal TLDM.

“Untuk satu tahun pertama ini, kita mahu mencapai kompetensi dan kemahiran sebelum membuat penugasan untuk operasi sebenar,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Skuadron 601 UAS ScanEagle dan majlis pemakaian lencana kepakaran kapal selam di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Muzzafar berkata 12 lagi pesawat ScanEagle akan dihantar ke Malaysia menjelang pertengahan tahun ini sehingga awal 2022.

Menurut beliau, AS telah menghantar enam ScanEagle ke Malaysia sebagai antara usaha negara itu membantu Angkatan Tentera Malaysia.

Sementara itu, dalam kenyataan media, TLDM memaklumkan UAS ScanEagle adalah pesawat buatan syarikat Boeing-Insitu dibekalkan oleh AS kepada Malaysia melalui program Maritime Security Initiative yang mula diterima oleh TLDM pada 6 Mei 2020.

Ia terdiri daripada enam pesawat, dua pelancar, dua skyhook dan tiga ground control station bernilai RM180 juta.

Terdahulu, Mohd Reza memakaikan lencana kepakaran kapal selam kepada sembilan anggota TLDM yang berjaya menamatkan latihan selama hampir 18 bulan.

Peserta terbaik latihan itu, Leftenan Quek Teck Gee, 32, berkata melalui kursus berkenaan pelatih perlu menjalani beberapa fasa latihan teori di pusat latihan dan latihan sambil kerja di dalam kapal selam.

Katanya, ketahanan mental amat penting terutama apabila bekerja dalam kapal selam kerana keadaan yang sempit dan tidak mengetahui waktu siang atau malam.

– BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here