Oleh Ahmad Abd Hamid

DI WAKTU azan hampir bergema, di pagi di subuh nan sunyi sebelum fajar menyinari alam, Selasa 2 Mac 2021, penerima hati pertama negara, Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini, 23, pergi menghadap Ilahi.

Dalam keheningan subuh, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang, Selangor, kira-kira pukul 5 pagi setelah 18 hari tidak sedarkan diri akibat komplikasi hati. Arwah dirawat di hospital berkenaan sejak 13 Februari.

Pemergiannya meruntun jiwa kaum keluarga, sanak saudara, rakan-rakan dan semua yang menyayangi. Namun itulah ketentuan Allah. Arwah pergi setelah 22 tahun menjalani pembedahan pemindahan hati.

Lahir pada pada Februari 1998, Afiq menjadi perhatian rakyat negara ini apabila disahkan menghidap bengkak hati. Dia memerlukan pembedahan dan penderma hati untuk membolehkannya terus hidup.

Namun laluannya bukan mudah. Kos pembedahan adalah tinggi di samping kesukaran mencari seorang penderma hati bersesuaian. Kerana kekangan ini, Afiq menghadapi masalah mendapatkan rawatan segera.

Penderitaannya menyentuh hati orang ramai. Simpati dengan penderitaan Afiq, pelbagai usaha dijalankan oleh pelbagai pihak bagi mendapatkan bantuan kewangan di samping mencari penderma hati bersesuaian.

Antara mereka yang berusaha keras ialah Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, yang ketika itu Timbalan Menteri Kesihatan. Beliau sentiasa mengambl berat dan mengikuti perkembangan Afiq, termasuk ketika arwah terlantar di Hospital Selayang.

Kos mencukupi, penderma hati juga ditemui. Allah menggerakkan hati seorang anak muda  yang baik hati untuk membantu meski pun tidak mempunyai pertalian darah dengan Afiq dan langsung tidak dikenali oleh ahli keluarganya. Wan Mohd. Hafizam Wan Ismail, ketika itu berusia 23 tahun, tampil mendermakan sebahagian hatinya atas rasa kemanusiaan dan prihatin dengan penderitaan ditanggung Afiq.

Akhirnya saat yang ditunggu tiba. Tanggal 3 April 1999 menjadi detik bersejarah apabila pembedahan pemindahan hati dijalankan. Afiq yang ketika itu berusia 14 bulan mencatat sejarah menjadi penerima hati pertama di negara ini.

Keberanian, kesediaan dan keikhlasan Wan Mohd Hafizam mendermakan sebahagian hatinya disanjung ramai serta mendapat pujian media massa dalam dan luar negara. Pengorbanannya sangat mulia, menghulur bantuan di saat diperlukan.  Ia juga mencetus kesedaran mengenai pentingnya menderma organ.

Allah mengizinkan pembedahan berjaya dan memanjangkan umur Afiq sehingga 23 tahun. Namun dengan ketentuan Allah juga pada usia ini Afiq menghadapi komplikasi hati yang didermakan kepadanya dan akhirnya dipanggil menghadap Ilahi setelah koma lebih dua minggu.

Pemergian Afiq bukan sahaja dirasai oleh keluarganya tetapi pastinya turut dirasai oleh Wan Mohd Hafizam yang turut berkongsi duka. Manakan tidak, untuk 22 tahun Afiq hidup dan membesar bersama sebahagian hatinya.

Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam (APM) itu memberitahu Berita Harian, sebahagian hatinya berada di dalam tubuh arwah dan dibawa sekali menghadap Ilahi. Dia menyifatkan sebahagian daripada dirinya juga sudah dikebumikan,

Harapannya ialah agar Afiq hidup lebih lama dan menyambung legasi sebagai penderma organ suatu hari nanti. Namun apakan daya hajat tidak kesampaian kerana Allah lebih menyayanginya.

Afiq berhati mulia dan tidak lupa mereka yang berjasa. Hasrat hatinya adalah untuk memberi cenderahati kepada doktor dan jururawat yang menjaga dan merawatnya di Hospital Selayang sejak Januari lalu sebagai penghargaan dan tanda ingatan. Namun hasrat ini tidak kesampaian.

Bapa Allahyarham, Muhammad Zaini Derahim, 50, memberitahu Buletin Utama TV 3, arwah anaknya berhasrat memberikan cenderahati itu pada bulan ini. Beliau sendiri tidak tahu mengenainya. Setelah mendapat tahu, beliau sangat sedih kerana hasrat arwah tidak kesampaian.

Wan Mohd Hafizam pula memberitahu Berita Harian, arwah telah menempah 35 kotak cenderahati. Tempahan dilakukan sebelum arwah kritikal dan koma kepada seorang individu yang dikenali Wan Hafizam. Tempahan juga sudah dibayar lebih awal. Namun tidak diketahui apa isi kandungan kotak berkenaan.

Wan Mohd Hafizam memberitahu, dia bersama adik Afiq akan menguruskan pemberian cenderahati berkenaan sebagai menunaikan hasrat arwah yang tidak kesampaian.

Afiq ialah anak sulung daripada tiga beradik hasil perkongsian hidup Muhammad Zaini Derahim  dengan isterinya, Shamsinar Salimen, 50. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Barakah, Kampung Masjid, Tikam Batu, Sungai Petani Kedah pada petang hari pemergian.

Meski pun keluarga Afiq tinggal di Rawang, jenazahnya dikebumikan di kampung halaman atas kehendak ayahnya kerana di sanalah tempat persemadian kaum keluarga mereka.

Selamat jalan Afiq, semoga tenang di alam barzakh. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu dan mengampuni semua dosamu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here