Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dijangka dapat menyelesaikan kes melibatkan perbuatan beberapa individu di dalam negeri ini yang disyaki menyanggahi ketetapan hukum syarak atau fatwa serta penghinaan kepada Al-Quran dan hadis.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, kes tersebut dapat dirungkai berikutan pihaknya telah mengeluarkan tiga waran tangkap terhadap tiga orang yang disyaki dan satu waran geledah di sebuah premis di sekitar Hulu Langat semalam.

“Berikutan dengan operasi tersebut, JAIS telah berjaya menahan empat orang yang disyaki yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita serta menyita beberapa bahan bukti dari premis dan individu terlibat.

“Keempat-empat yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat JAIS untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 7, 9 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penangkapan kesemua suspek tersebut dipercayai melibatkan kes Agama Melayu yang dibawa oleh seorang individu dikenali sebagai Ibu Yati yang videonya ditular sebelum ini.

Shahzihan berkata, kes terhadap kesemua yang ditahan telah disebut di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini.

Jelasnya, mahkamah telah menetapkan jaminan bagi seorang tertuduh lelaki adalah dengan seorang penjamin dalam kalangan penjawat awam Gred 41 & RM1,000, pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak dua (2) minggu sekali.

“Manakala bagi dua orang tertuduh wanita, mahkamah telah menetapkan jaminan bagi setiap tertuduh iaitu seorang penjamin dalam kalangan penjawat awam Gred 48 & RM3,000, pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak dua (2) minggu sekali.

“Seorang lagi suspek lelaki telah dilepaskan dengan Bon Jamin Penguatkuasa,”katanya.

Beliau menambah, sebutan semula kes telah ditetapkan oleh mahkamah pada 28 Julai 2021 di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here