Dari kiri Mohd. Noah Maideen, Ahmad Amzad Mohamed dan Mohd. Shafiq Affendi Mohd. Abdul Rahman sewaktu sidang media selepas pelancaran MyCar 3.0, baru-baru ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SILA buang atau nyahpasang (uninstall) aplikasi MyCar 1.0 dan MyCar SuperApps (2.0) kerana ia tidak relevan lagi. Untuk menempah perkhidmatan e-hailing MyCar, sila muat naik (re-install) semula MyCar 3.0 yang baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Platform App Sdn Bhd, Mohd. Noah Maideen berkata, aplikasi lama iaitu MyCar 1.0 dan MyCar 2.0 digantikan dengan MyCar 3.0 bermula 3 Mac lalu. Penarikan semula aplikasi SuperApps itu dibuat berikutan beberapa masalah fungsi utama di dalam aplikasi MyCar SuperApps itu.

“MyCar sudah beroperasi untuk musim pertama pada 2018, musim kedua 2020. Tetapi kita menghadapi beberapa masalah ketika menggunakan MyCar SuperApps 2.0 kerana ia menggunakan teknologi dari negara luar.

“Aplikasi SuperApps 2.0 itu digantikan dengan MyCar 3.0 yang direka dan dibangunkan sendiri oleh MyCar, dengan menggunakan 100% kemahiran graduan kejuruteraan perisian tempatan. Kita buat keputusan untuk guna teknologi sendiri dan akhirnya lahirlah MyCar 3.0 pada 3 Mac 2021.

Mohd. Noah yakin MyCar 3.0 mampu bergerak seiring dengan pesaing yang lain.

“Pasal MyCar 2.0 yang lepas, saya pun sangat kecewa dengan sistem tersebut dan sebab itu kita bina sistem sendiri untuk pastikan ia benar-benar genuine (tulen) daripada hati sanubari kami untuk diberikan kepada driver (pemandu).

“Saya minta maaf pada pemandu MyCar yang aktif (kira-kira 3,000 hingga 4,000 orang), mereka tak ada pendapatan. Ada yang terpaksa jual kereta dan rumah bila kita guna MyCar SuperApps 2.0 pendapatan jadi kurang.

“Insya-Allah, saya yakin dengan terciptanya aplikasi MyCar 3.0 ini, MyCar menyasarkan untuk menjadi unicorn gig ekonomi pertama dari Malaysia untuk rantau Asia Tenggara,” katanya penuh yakin.

Pada majlis pelancaran MyCar 3.0 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Mohamed, Mohd. Noah yakin selepas menggunakan aplikasi yang dibangunkan sendiri, MyCar mampu memberikan saingan yang sihat dengan pencabar yang lebih besar.

Gimik sewaktu majlis pelancaran MyCar 3.0.

Katanya, MyCar 3.0 adalah permulaan baharu untuk sistem mereka dan yakin tetap menjadi pilihan kepada pemandu e-hailing di Malaysia selepas Grab. Selain itu, pihaknya juga telah membuat pelbagai pemasaran untuk pengguna di seluruh negara.

“Kita punya sasaran adalah untuk menjadi salah satu pemain gig ekonomi yang utama di Malaysia, selain daripada Grab, Food Panda dan LalaMove. Kita akan menyasarkan produk kita terutama e-hailing dan juga parcel delivery (penghantaran bungkusan).

“Bulan Jun nanti kita akan perkenalkan produk untuk food delivery (penghantaran makanan). Kita juga akan memperkenalkan beberapa perniagaan di dalam talian e-dagang, insya-Allah pada hujung tahun ini. Dengan teknologi yang dibangunkan sendiri oleh Platforms Apps Sdn. Bhd., atau MyCar, kita mempunyai kelebihan itu untuk mengadakan lebih banyak pilihan kepada pengguna.

“Untungnya mempunyai teknologi yang dibangunkan sendiri kerana kita boleh ubah apa-apa pilihan untuk orang ramai dengan cepat. Berbeza bila kita guna teknologi dari luar. Saya percaya Malaysia mampu menjadi pusat e-dagang yang utama di Asia Tenggara kerana kita lihat bahawa pencapaian internet Malaysia agak bagus berbanding dengan negara Asean yang lain.

“Dengan itu saya yakin sekiranya kita benar-benar membangunkan teknologi kita sendiri, kita boleh mengeksport teknologi itu ke negara-negara luar. Kalau dulu Grab, asalnya dari Malaysia tapi sayangnya mereka telah berpindah ke Singapura.

Perlu menggunakan aplikasi MyCar 3.0 untuk urusan e-hailing.

“Saya harap MyCar akan kekal di Malaysia kerana ia lahir daripada rakyat Malaysia dan akan kekal di sini. Kita akan cuba mengeksport teknologi negara kita ke luar seperti Grab dulu,” katanya yang tidak takut dengan persaingan daripada Grab dan FoodPanda.

Selain itu, MyCar juga memaklumkan fokus utama perkhidmatan mereka adalah e-hailing dan penghantaran barangan sahaja dalam tempoh enam bulan awal, dan mempelbagaikan jenis modul perkhidmatan terutama e-hailing untuk pelajar sekolah dan korporat, yang di kenali sebagai MyCar For School dan MyCar For Business.

Antara kelebihan-kelebihan yang ada dalam MyCar 3.0 adalah tawaran hadiah kepada pengguna yang mempromosikan aplikasi MyCar 3.0 kepada rakan-rakan mereka. MyCar 3.0 juga akan memberikan lebih banyak cara bayaran melalui e-wallet dan tanpa tunai.

MyCar 3.0 ini juga mudah digunakan dan mampu menarik lebih ramai pemandu untuk memberikan perkhidmatan mereka serta komisyen yang rendah untuk pemandu.

Dengan membangunkan logik algoritma yang dibina oleh MyCar sendiri, dijangkakan MyCar mampu menawarkan lebih banyak tawaran yang lebih menarik di dalam aplikasi (in-app) dan boleh di tebus terus dengan hadiah-hadiah yang menarik di restoran makanan segera, kedai pelbagai guna, farmasi dan pusat membeli belah yang terkenal dengan menggunakan app 3.0 ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here