Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

MAJLIS Sukan Negara (MSN) digesa tidak lagi bersikap pilih kasih dalam menyalurkan peruntukan kewangan dengan hanya mengutamakan sukan-sukan yang popular dan glamor.

MSN sepatutnya kata Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad, memberikan layanan yang adil kepada semua persatuan sukan kebangsaan apatah lagi yang kerap menjadi penyumbang pingat emas dalam temasya-temasya sukan.

“Kami lihat MSN lebih fokus sukan glamor. Sebagai pemenang amanah dalam menyalurkan peruntukan itu, MSN sepatutnya mendengar perancangan dan pandangan kami, bukannya MSN sahaja yang putuskan semuanya.

“Bercakap soal peruntukan, saya lihat hanya sukan glamor yang diberikan keutamaan walaupun tidak mempunyai pencapaian. Kami sukan tempur seperti karate ini tidak dipandang.

“Sedangkan pingat emas kami yang lebih berharga dalam setiap temasya sukan utama (seperti Sukan SEA, Asia, Komanwel dan Olimpik),” kata Nur Azmi dalam siaran media kepada BebasNews hari ini.

Beliau juga mahu MSN lebih prihatin dengan kebajikan para jurulatih karate tempatan dengan menawarkan tangga gaji yang lebih baik buat mereka.

“Jurulatih sukan kurang popular di negara ini seperti karate hanya dapat kenaikan RM140 atau lima peratus dalam tempoh dua tahun.

“(Angka ini) tidak diselaraskan dengan pencapaian cemerlang sukan kami. Pingat emas kami lebih berharga setiap kali temasya sukan besar itu berlangsung,” katanya.

Sikap pilih kasih kepada jurulatih import yang dibayar mahal turut kurang disenangi Azmi yang merujuk kepada Ali Reza Soleimani dari Iran digajikan oleh MSN sehingga RM18,000 sebulan.

“Makaf tidak menyambung kontrak jurulatih karate skuad negara ini kerana mahu memberikan peluang kepada para jurulatih tempatan supaya mereka dapat digajikan RM5,000 seorang.

“Apabila hendakkan pingat temasya sukan itu, masih harapkan sukan tempur seperti kami. Berbaloikah bagi jurulatih tempatan jika gaji mereka bawah RM4,000 tetapi hendakkan prestasi sebagus jurulatih import bergaji mahal?

“MSN jagalah kebajikan jurulatih tempatan sama. Ini periuk nasi dan karier sepenuh masa mereka. Saya harap Menteri Belia dan Sukan masuk campur dalam hal ini,” tegasnya.

mediaXpert Kenyataan Media

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here