Ayob Khan menunjukkan 12 suspek sindiket penipuan atas talian yang berjaya ditahan di Kuala Lumpur dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Walaupun sudah banyak nasihat dan pendedahan dibuat, tetapi masih ramai lagi yang terperdaya dengan penipuan Macau Scam.

Malah, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sendiri hairan kerana orang ramai masih tertipu meskipun peringatan dan amaran berkali-kali sudah diberikan.

“Kami menerima aduan penipuan berkaitan kes Macau Scam setiap hari di negeri ini.

“Tak larat kita nak bagi nasihat, perkara yang sama berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini ( 4 Mac).

Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor menerima 40 laporan polis berkenaan kes Macau Scam dengan jumlah kerugian lebih RM1.48 juta.

Sementara itu, sejumlah 12 individu termasuk seorang wanita yang terlibat Macau Scam sejak setahun lalu, berjaya diberkas pada Ahad lalu.

Seramai 12 suspek yang disyaki terlibat dalam penipuan Macau Scam.

“Mereka ditangkap di Cheras, Kuala Lumpur susulan satu serbuan di sebuah premis di Kota Tinggi kelmarin,” katanya.

Justeru, polis Johor menasihatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi dan perbankan seperti nombor akaun, nombor kata laluan atau one time password (OTP) kepada pihak ketiga.

Jelasnya, ahli sindiket berkenaan akan menggunakan akaun tersebut sebagai ‘mule akaun’ bagi menipu mangsa lain.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang penipuan Macau Scam atau jenayah komersial lain diminta menghubungi pegawai risikan/operasi JSJK IPK Johor, Asisten Superitendan Timmy Anak Aheng menerusi talian 019-7773728 atau infoline JSJK 013-2111222. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here