FOTO: Rio Tuasikal (VOA), Public domain, via Wikimedia Commons
Oleh Arrazzaq Nazri

TERDAPAT kurang lebih 80,366 telahpun menerima suntikan pertama mereka dalam fasa pertama Program Immunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), namun ramai lagi yang masih menunggu giliran dengan penuh kesabaran.

Namun begitu sudah mula kedengaran suara-suara kurang enak tentang terdapat sesetengah pihak yang menyalahgunakan kedudukan bertindak memotong barisan dan keutamaan tidak diberikan kepada pihak yang sepatutnya.

Sehingga kini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba mendakwa, tiada laporan diterima mengenai dan hanya berita di media sosial. Namun, ‘kalau tiada angin masakan pokok bergoyang’ dan pihak berkuasa juga hendaklah mengambil sikap proaktif.

Kerajaan perlu bertindak tegas memastikan keadaan itu benar-benar tidak mungkin berlaku. Kredibiliti kerajaan menjadi pertaruhan, sikap acuh tidak acuh boleh mengagalkan PICK. Malah rakyat sendiri akan hilang kepercayaan terhadap ketelusannya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Jacob George sebelum ini turut bimbang tentang dakwaan kononnya keluarga ahli politik yang turut melanggar protokol penerima vaksin. Maka timbul pertanyaan siapakah yang memantau dan melakukan audit penerima-penerima vaksin ini di peringkat negeri termasuk di Selangor.

Biarpun Dr. Adham menyatakan individu yang memotong barisan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara maksimum enam bulan atau kedua-dua sekali, ramai yang meraguinya bahawa potong barisan tidak boleh berlaku.

Malah tokoh-tokoh politik sendiri sebelum ini merupakan antara pihak yang tegar dan kerap melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atas pelbagai alasan.
Lantas, kenapa perlunya ahli-ahli politik diberi keutamaan mendapat vaksin terlebih dahulu sedangkan sebelum ini kerajaan memberi jaminan bahawa golongan yang diutamakan adalah barisan hadapan.

Berdasarkan ketetapan kerajaan sebelum ini, golongan pertama yang perlu menerima vaksin merupakan barisan hadapan, diikuti dengan warga emas dan fasa ketiga pula melibatkan orang ramai. Dalam mendefinisikan barisan hadapan perkerja pentadbiran hospital swasta bukan yang patut diberikan perhatian.

Pada masa sama, timbul pula, permintaan daripada hospital swasta supaya mereka juga dibenarkan untuk membeli vaksin sendiri supaya mereka yang berkemampuan terutama golongan orang kenamaan atau VIP dapat menerima suntikan lebih cepat.
Persoalannya kenapa wujud diskriminasi sedemikian.

Jika benar hospital benar-benar mahu menjayakan PICK, benarkan juga rakyat mereka untuk mendapatkan suntikan di hospital swasta secara percuma seperti mana hospital kerajaan. Perlukah wujud unsur-unsur mencari peluang keuntungan ketika rakyat Malaysia berdepan musibah.

Jadi bagaimana mungkin kita boleh mendabik dada sebagai sebuah kerajaan yang prihatin. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here