NUR Azmi Ahmad (tengah). - Foto FB Makaf.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

PERMAINAN tuding-menuding jari atau ‘berbalas kumite’ kini berlaku antara Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Jika semalam, Azmi mendakwa wujud sikap pilih kasih MSN dalam menyalurkan peruntukan kewangan kerana mengutamakan sukan-sukan yang popular dan glamor, telah dijawab Shapawi, kebanyakan keputusan dicapai dalam jawatankuasa bersama malah ada yang MSN pula akur dengan Makaf.

“Kami lihat MSN lebih fokus sukan glamor. Sebagai pemegang amanah dalam menyalurkan peruntukan itu, MSN sepatutnya mendengar perancangan dan pandangan kami, bukannya MSN sahaja yang putuskan semuanya.
“Bercakap soal peruntukan, saya lihat hanya sukan glamor yang diutamakan walaupun tiada pencapaian. Kami sukan tempur seperti karate ini tidak dipandang sedangkan pingat emas kami lebih berharga dalam temasya (Sukan SEA dan Asia),” kata Azmi.
Shapawi dalam siaran media MSN semalam, berkata: “kenyataan tersebut agak menyimpang dari situasi sebenar,” sambil memberikan penjelasan berikut:

“MSN akur apabila Makaf mahu memberhentikan jurulatih Iran, Ali Reza Soleimani yang juga pilihan mereka ekoran masalah dalaman persekutuan,

“Makaf yang mencadangkan penggantinya dilantik iaitu R. Puvaneswaran yang juga bekas jurulatih pasukan Pelapis Kebangsaan malah diberhentikan oleh pengurusan sama persekutuan. MSN juga akur.

“Makaf mahu menutup pusat latihan atlet kata di Pulau Pinang dan memindahkannya ke Bukit Jalil malah menamatkan khidmat jurulatih tempatan, Lim Lee Lee.

“MSN juga akur walaupun pusat berkenaan melahirkan ramai atlet kata penyumbang pingat negara.

”Kami juga akur dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja pada 21 Januari 2021 bahawa tiga jurulatih akan mengendalikan program latihan pasukan negara dan pelapis (16 atlet) di Bukit Jalil,” katanya.

Azmi turut mendakwa berlakunya pilih kasih dalam soal skim gaji Ali Reza yang dibayar MSN sehingga RM18,000 sebulan.

Dakwanya lagi, ini berbeza dengan jurulatih tempatan yang hanya menerima bawah RM4,000 malah kenaikan gaji mereka cuma sekitar RM140 atau lima peratus dalam tempoh dua tahun.

Kata Shapawi, “MSN mempunyai batasan dalam menentukan peruntukan gaji serta kadar kenaikan gaji jurulatih yang tertakluk kepada Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) yang seragam digunakan semua jenis sukan supaya lebih adil kepada semua.

“Makaf memang maklum tentangnya. Mereka dialu-alukan untuk menyediakan insentif tambahan kepada jurulatih sebagaimana persatuan-persatuan sukan lain yang berkemampuan,” katanya.

MSN telah memberikan versi mereka berhubung dakwaan pilih kasih dan keputusan oleh sebelah pihak itu namun kurang jelas ialah mengapa Ali Reza digaji empat kali ganda?

Jadi adakah Puvaneswaran yang pernah mendapat kepercayaan Thailand sebelum kembali ke tanah air bersama Makaf, dibayar setaraf atau jika tidak pun, hampir dengan habuan yang dinikmati jurulatih Iran itu.

Shapawi masih tidak menjelaskan sukan popular dan glamor mana yang didakwa Azmi kerap mendapat layanan ‘anak emas’ tetapi masih tanpa pencapaian sedangkan karate tidak pandang walaupun kerap menjadi penyumbang pingat emas.

Jika benar ada perbezaan ‘antara dua darjat’ itu, MSN tentu mempunyai alasan, huraian atau kategori tertentu yang bernas dan munasabah.

Kepada Azmi dan Makaf, jika menyedari gaji Ali itu terlalu tinggi, mengapa mereka tidak membantah awal-awal lagi sebelum kontrak ditandatangani?

MSN pula sepatutnya menjelaskan apakah kriteria jurulatih Iran tersebut turut tertakluk kepada SPKK atau tidak atau mempunyai pengecualian dan keistimewaan tertentu yang membezakannya dengan Puvaneswaran dan jurulatih tempatan lain?

Azmi juga perlu menjelaskan apakah masalah dalaman Makaf sehingga Ali yang mereka sendiri calonkan sebagai ketua jurulatih negara, boleh pula diberhentikan?

Mengapa Puvaneswaran boleh pula dilantik Makaf selepas khidmatnya bersama skuad pelapis pernah tidak diperlukan lagi oleh Persekutuan?

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here