Haiza tampil dengan single Mantan Isterimu selepas dua tahun tidak hasilkan lagu baharu.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

DEK kekuatan lagu Dag Dig Dug…Mana Tahan yang dihasilkan pada 1995, nama Haiza masih bertahan dalam industri muzik tanah air hingga kini.

Namun sekarang ini, Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 41, lebih dikenali sebagai penyampai radio Kool FM yang bersiaran setiap pagi Isnin hingga Jumaat.

Kesibukan sebagai penyampai radio tidak menghalang Haiza untuk meneruskan kegiatan seninya selepas menyertai program Gegar Vaganza 2015.

Beliau yang sinonim dengan genre dangdut itu tampil dengan single Mantan Isterimu sejak 22 Februari lalu. Melihat kepada judul lagu ciptaan Ajai dan lirik oleh Iman Imran itu seolah-olah dekat dengan diri Haiza.

Mantan Isterimu kisah benar yang berlaku dalam kehidupan masyarakat sekarang.

Jangan berprasangka buruk, kisah Mantan Isterimu bukan cerita berkaitan Haiza tapi mengenai wanita yang gila talak apabila berlakunya perceraian.

Haiza yang bahagia dengan suami tercinta, Norhanaphe Omar sejak disatukan pada 2007 dan diserikan dengan kehadiran anak, Nur Iman Syafie, 9, berkata perkara itu bukan tabu dalam kalangan masyarakat tapi sering berlaku.

“Jika sebut gila talak, masyarakat biasanya akan merujuk kepada lelaki memandangkan kebanyakan kes ini pernah berlaku padahal ada juga wanita tidak ‘move on’ sebaik sahaja berlakunya perceraian.

“Kita faham tak semua orang akan move on bila berlaku perpisahan. Kenapa perkara tersebut terjadi? Hanya mereka sahaja yang tahu apa sebenarnya yang terjadi sedangkan orang luar terus menerus membuat andaian.

“Semua kisah masyarakat yang berlaku dirumus oleh Iman Imran ke dalam lagu ini. Bagi saya ini sesuatu yang segar, lain dan dekat dengan pendengar,” katanya yang menganggap ini merupakan sebuah kritikan sosial kepada masyarakat.

Jelas Haiza, lagu tersebut ada banyak perbezaan berbanding dengan lagu Young & Gentlemen ciptaan Aizat Amdan dan Mel Ramlan, yang dikeluarkan dua tahun lalu.

Beliau menganggap genre world music dan fusion yang dimuat naik dalam lagu Mantan Isterimu lebih menghiburkan serta dekat dengan peminat kerana ia merupakan asam garam rumah tangga yang ada pasang surutnya.

Haiza harap single baharunya itu dapat mengubati kerinduan peminat untuk mendengar lagu dendangannya.

Bercerita mengenai lagu baharunya itu, jelas Haiza, apa yang digarap oleh penulis lirik adalah kisah benar yang berlaku dalam kehidupan manusia.

“Single ini cukup mencabar kerana liriknya menyentuh kisah wanita yang dianggap jahat kerana merampas atau memusnahkan kebahagiaan orang lain.

“Saya cuba mengamati apa yang diangkat dalam lagu ini…. Ia bukan mudah kerana perkara ini dianggap tabu dan sensitif dalam masyarakat kita,” jelasnya.

Kata Haiza, melalui pengamatannya, individu yang tidak pernah melalui situasi seumpama itu, baik menjadi mangsa atau perampas, jangan pantas menjatuhkan hukuman.

“Orang akan cakap itu dan ini, salahkan perampas dan kasihankan isteri yang teraniaya. Dalam hidup ini, bagi setiap perkara yang berlaku, tidak adil bagi kita mendengar cerita daripada sebelah pihak sahaja,” ulasnya tentang lagu yang dirakam ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan, tahun lalu di studio Wake The Baby milik Ajai.

Bercerita mengenai perkembangan terkini, Haiza mengakui turut merasai perubahan besar dalam kerjaya sejak Covid-19 melanda dunia.

Setiap pagi Isnin hingga Jumaat, Haiza akan bergandingan dengan AG di Kool FM.

Jika dahulu beliau sering melakukan banyak pekerjaan dalam satu masa yang sama, kini fokusnya lebih tertumpu kepada radio semata-mata memandangkan sudah kekurangan acara hiburan berbanding dahulu.

“Dulu saya buat tiga atau empat kerja sekali gus. Sekarang sudah tak banyak show memandangkan acara hiburan makin kurang disebabkan SOP (Prosedur Operasi Standard) dan sebagainya. Tapi saya bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan tetap.

“Ada dalam kalangan rakan-rakan artis lain juga berhadapan dengan masalah yang sama sampai terpaksa mencari pendapatan dengan cara yang lain. Semua orang pun terkesan, ini realiti yang sudah dihadapi oleh semua,” tambahnya lagi.

Baginya semua orang perlu mengambil peluang menggunakan platform digital untuk melakukan apa sahaja demi mencari sumber pendapatan atau mencari rangkaian baharu.

Dengan ada pelbagai platform, siapa sahaja mampu melakukan apa sahaja termasuklah berniaga, memasarkan produk dan sebagainya. Dia juga tidak terkecuali dalam hal tersebut untuk memasarkan Mantan Isterimu.

“Perubahan semasa tetap akan berlaku dan semua orang perlu memanfaatkan peluang yang ada. Kita berusaha dan Tuhan juga yang menentukan, apa yang penting adalah langkah pertama itu,” katanya lagi.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here