Pemimpin DAP Steven Sim, Dr Kelvin Yii, Lim Guan Eng mengadakan pertemuan dengan Kahiry Jamaluddin semalam. - Foto DAP via FMT

PETALING JAYA – DAP menggesa kerajaan tidak mengadakan pilihan raya kilat sehingga lebih 70% rakyat Malaysia divaksinasi dan imuniti kelompok dicapai.

Semalam Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii, Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim menghadiri pertemuan dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, di mana mereka menyatakan sokongan terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Namun mereka juga mendesak Khairy supaya menasihati Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk tidak mengadakan pilihan raya kilat sehingga 70% penduduk divaksin, dengan berkata, kesihatan dan kesejahteraan ekonomi rakyat harus diutamakan daripada politik.

“Mengadakan pilihan raya umum sebelum imuniti kelompok dicapai adalah risiko kesihatan awam yang besar, seperti yang kita lihat daripada pilihan raya negeri Sabah,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam satu wawancara dengan Channel News Asia pada awal September lalu, Khairy berkata “tidak mustahil” pilihan raya diadakan pada tahun ini.

Sementara itu, pemimpin DAP terbabit menyambut baik ikrar menteri berkenaan untuk meniasat dakwaan insiden “potong barisan vaksin”, selain turut menyuarakan kebimbangan mengenai langkah Kementerian Kesihatan (KKM) memberi amaran kepada kakitangannya daripada mengulas atau memuat naik hantaran mengenai program vaksinasi di media sosial.

Mereka berkata kerajaan haruslah memastikan individu yang tampil ke hadapan untuk mendedahkan salah laku dilindungi daripada hukuman atau tindakan tatatertib.

“Walaupun berkongsi gambar penerima vaksin tanpa persetujuan mungkin bukan tindakan yang tepat, seseorang harus mengakui tekanan yang dilalui oleh petugas barisan hadapan dan tidak mengambil pendekatan menghukum terhadap kesilapan sedemikian.

“Kami menyeru agar kerajaan bersikap telus dalam menangani isu ini dan mendedahkan mana-mana pihak yang dibuktikan terlibat dengan kejadian ‘potong barisan’ untuk diberikan pengajaran kepada yang lain,” kata mereka.

Mereka juga menggesa kerajaan memperincikan secara spesifik kumpulan rentan untuk fasa kedua PICK, terutama sekali kerana ia dijadualkan bermula pada April.

Mereka berkata, anggota perubatan dari sektor swasta termasuk doktor gigi juga haruslah diberikan keutamaan vaksin dalam fasa pertama kerana mereka sering kali menjadi tempat rawatan pertama bagi pesakit bergejala mahupun tidak bergejala.

“DAP juga akan memberi kerjasama dan mengembleng tenaga semua wakil rakyat kami untuk membantu dalam komunikasi strategik tentang manfaat vaksin Covid-19, membanteras fahaman antivaksin dan koordinasi pelaksanaan imunisasi di kawasan Parlimen dan DUN masing-masing.

“Kami berharap kerajaan akan melibatkan kami secara terus, termasuk menyediakan akses kepada sumber dan data yang ada untuk mengaktifkan kaedah “whole society approach” dalam memantau dan menjayakan pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/05/jangan-adakan-pru-sehingga-70-rakyat-divaksinasi-kata-dap/

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here