Ayob Khan menunjukkan gambar dua suspek termasuk lelaki yang membunuh isterinya di Kota Tinggi, Isnin lalu

JOHOR BAHRU – Gara-gara cemburu, seorang lelaki sanggup menembak isterinya dengan senapang angin dan menyumbat mayat mangsa ke dalam tong air sebelum menanamnya di sebuah ladang di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Isnin lalu.

Pembunuhan kejam terhadap wanita berusia 38 tahun itu yang bekerja sebagai kerani swasta berlaku di rumah pasangan tersebut di Taman Saujana, Kota Tinggi kira-kira pukul 2 pagi.

Pasangan terbabit telah berkahwin selama lapan tahun dan dikurniakan dua anak berusia tiga dan empat tahun yang dipercayai sedang tidur ketika kejadian.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan polis menemukan surat pemohonan faskh milik mangsa dan motif cemburu dipercayai punca pembunuhan kejam berkenaan.

“Suami mangsa berusia 43 tahun telah menembak isterinya pada bahagian dada ketika mangsa sedang tidur menggunakan senapang angin.

“Lelaki itu kemudian membungkus mayat mangsa dengan cadar dan menyumbatnya dalam tong air biru dan dibawa menggunakan sebuah kenderaan ke sebuah ladang untuk menanam tong air terbabit dengan dibantu seorang rakan suspek yang berusia 32 tahun,” katanya di sini.

Jarak antara rumah pasangan itu dengan lokasi mangsa ditanam kira-kira 10 kilometer dan suspek yang merupakan pemandu jengkaut bertindak mengorek dan menimbus tanah untuk menanam mayat mangsa menggunakan jentera berat terbabit.

Walau bagaimanapun, jenayah kejam suspek dirungkai hasil siasatan dijalankan apabila mangsa dilaporkan hilang pada Isnin lalu dan mayat wanita itu ditemukan di ladang berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Ayob Khan menunjukkan gambar dua suspek termasuk lelaki yang membunuh isterinya di Kota Tinggi, Isnin lalu

“Siasatan lanjut mendapati supek mengaku membunuh mangsa, selain terdapat saksi yang melihat suspek mengangkat tong air biru ke dalam sebuah kenderaan pada hari kejadian kira-kira jam 4 pagi,” katanya.

Polis turut merampas selaras senapang angin dan senapang patah, 54 butir peluru penabur, sebuah kenderaan Mitsubishi Pajero dan sebuah jengkaut berkaitan kes terbabit.

Suspek juga didapati tidak memiliki permit ke atas senjata api yang dirampas itu dan mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Proses bedah siasat ke atas mayat mangsa masih dijalankan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kedua-dua suspek yang ditangkap telah direman selama enam hari bermula hari ini hingga 10 Mac ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata Api.

Kedua-dua anak pasangan itu ketika ini dijaga oleh ahli keluarga mangsa. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here