Oleh Yusoff Ahmad Shariff
AHLI perniagaan John McAfee, pengasas perisian anti-virus McAfee telah dicaj di Amerika Syarikat bersabit konspirasi penipuan dan pengubahan wang haram.
McAfee dan pengawal peribadinya Jimmy Gale Watson Jr dituduh mempromosikan mata wang kripto kepada pengikut Twitter McAfee bagi menaikkan harga.
Mata wang berkenaan kemudian dijual, justeru meraih keuntungan bagi kedua-duanya sebanyak AS$13 juta.
Setakat ini kedua-dua tertuduh belum mengeluarkan sebarang komen, lapor BBC.
McAfee sekarang berada dalam tahanan bersabit beberapa tuduhan jenayah percukaian yang beliau telah menafikan.
Beliau mungkin akan diekstradisi ke Amerika Syarikat.
Caj-caj terkini difailkan di Mahkamah Persekutuan Manhattan di New York di mana mereka berdepan dengan tuduhan membeli aset-aset mata wang kripto sebelum mempromosikan melalui Twitter McAfee yang mempunyai lebih sejuta pengikut.
Pendakwaraya Persekutuan Audrey Strauss berkata tindakan mereka merupakan eksploitasi meluas melalui media sosial untuk meraih keuntungan daripada para pelabur dalam pasaran mata wang kripto dengan cara penipuan.
Dalam kes percukaian berasingan yang diumumkan pada Oktober lalu, McAfee dituduh gagal memfailkan penyata cukai dari 2014 hingga 2018.
Dia dikatakan telah menggunakan nama-nama individu lain bagi menyembunyikan aset-aset miliknya, termasuk sebuah kapal layar dan harta lain.