Johan Aziz tauke gearbox kambing masak merah yang beroperasi dari Food Court Taman Kosas, Ampang.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SETIAP hari Johan Aziz akan memuat naik pelbagai foto beliau ketika berada di Food Court Taman Kosas, Ampang. Mesti ada yang tanya, siapa Johan yang dimaksudkan dan apa faedah yang wargamaya dapat kalau kenal Johan.

Pada yang tidak mengenali, biar penulis beritahu serba sedikit tentang anak jati Johor ini. Dalam industri muzik tanah air, beliau lebih dikenali sebagai Johan Pengurus Slam.

Sepanjang tempoh Johan mengurus kumpulan Slam, segala urusan baik dari segi persembahan atau temu bual dengan pihak media semuanya berjalan lancar.

Setiap hari Johan akan masak tiga periuk besar untuk pelanggan yang menempah atau yang datang ke gerai.

Cuma semenjak dua tiga tahun baru-baru ini saja, Johan tidak lagi aktif dalam bidang seni kerana memberi tumpuan kepada perniagaan kedai makan yang terletak di Taman Kosas itu.

Menurut Johan, beliau mula menjual gearbox kambing masak merah secara serius sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

“Masa mengurus Slam dulu pun saya berniaga di sini, ketika itu saya jual masakan Siam dan minuman sebab banyak masa. Sekarang ini saja saya fokus kepada menu gearbox ni. Alhamdulillah, tak sangka sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Masa mula-mula dulu saya masak dalam periuk kecil saja, alhamdulillah sekarang ini, setiap hari saya masak dalam tiga periuk besar. Permintaan bertambah bila hari Sabtu dan Ahad. Katakan pagi saya masak, tiga periuk nanti tengah hari saya akan masak lagi dua periuk,” ceritanya yang menggunakan resipi daripada abang ipar dan kakak ipar.

Biarpun menggunakan resipi mereka tapi Johan ada membuat sedikit perubahan mengikut cita rasanya.

Masakan gear box kambing yang pekat dan sedap ini dimasak dengan sempurna sebelum dihantar kepada pelanggan

“Saya belajar dengan isteri, kakak ipar dan abang ipar. Mereka orang Johor dan di sana kakak ipar dan abang ipar terkenal dengan Tok Wan Katering yang beroperasi di Skudai.

“Untuk saya masak, saya ubah sikit ikut selera sini dan alhamdulilah, sambutan okey. Mula-mula berniaga saya masak lebih kurang 20 hingga 50 kilogram saja, sekarang ini saya perlu beli gearbox dan kaki kambing lebih kurang 150 hingga 200 kilogram,” katanya yang mendapat bekalan dari Pasar Borong Selayang, Pasar Chow Kit atau Pasar Pudu.

Untuk mendapatkan bahan-bahan utama gearbox kambing masak merah, seawal 6.30 pagi Johan akan keluar dari rumah menuju ke pasar. Beliau mula memasak pada pukul 8 pagi sehingga 11 pagi kerana 11.45 pagi, rider (penghantar makanan) akan mula gerak mengedar tempahan yang dibuat oleh pembeli.

“Dulu saya ada seorang rider saja, sekarang ini dah jadi lapan orang. Mereka hantar sampai Shah Alam dan Putrajaya. Dapat untung sikit-sikit pun jadilah daripada kita tak ada buat apa. Saya seronok bila orang makan puas hati dan lepas itu mereka akan order lagi.

“Pakej untuk seorang makan berharga RM15, termasuk roti. Untuk tiga orang makan, RM30 hingga RM60. Kalau hujung minggu saja, saya dapat banyak permintaan daripada orang bujang,” ceritanya.

Pada yang teringin tapi tak pandai masak, telefon saja nombor yang tertera itu.

Johan bersyukur kerana perniagaannya itu mendapat sokongan daripada rakan artis yang sering datang membeli atau membuat tempahan. Katanya, artis pertama yang membeli gearbox kambing masak merah masakannya itu ialah Datuk Hattan.

“Mula-mula, Datuk Hattan kata nak cuba dan bila dah makan, setiap petang Jumaat dia datang dengan isteri. Makan dan kemudian bawa balik rumah. Dia dulu selalu buat show di Singapura dan selalu makan. Dia kata tak dapat cari kat sini dan bila tahu saya jual, terus datang. Dia kata kena dengan tekaknya. Ramai kawan-kawan sokong, alhamdulillah,” katanya yang turut mendapat tempahan daripada VIP.

Cucur kodok ini Johan buat untuk rakan-rakan saja belum berhasrat untuk menjual secara komersial.

Antara artis yang telah membeli gearbox kambing masak merah Johan ialah Datuk Jamal Abdillah, Amy Search, Ajai, S.Atan, Nizam Laksamana, Nabil Ahmad dan ramai lagi.

Memandangkan beliau mendapat banyak tempahan, Johan bercadang untuk menyediakan gearbox kambing masak merah secara sejuk beku (frozen) bagi memudahkan orang ramai.

“Lepas ni mungkin saya buat frozen, tinggal masuk dalam mikrowave saja. Bagi orang makan dah siap lagi senang. Kalau saya jual pes, nanti bila masak lari pula rasanya. Baik buat yang mudah untuk pengguna, panaskan saja sebelum makan,” jelas Johan tentang perancangannya.

Amy Search pun tempah gearbox kambing masak merah daripada Johan.

Sebenarnya, selain gearbox kambing masak merah, Johan juga pakar membuat cucur kodok. Setakat ini beliau hanya buat untuk kawan-kawan yang berkunjung ke kedainya kerana di situ juga menjadi tempat pertemuan.

Bagi yang ingin menikmati gearbox kambing masak merah buatan Johan boleh tag beliau di Facebook atau Instagram Johan Aziz dan untuk orang Johor, boleh WhatApps Azlita di talian 018-3747833 atau ke Facebook Azlita Masam Manis.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here