FOTO: Perhilitan.

KUALA TERENGGANU — Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menangkap seekor gajah betina liar dalam satu operas di Kampung Durian Bador dekat Kuala Berang, Hulu Terengganu, Khamis lepas.

Pengarah Perhilitan Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata haiwan liar seberat 2.5 tan itu ditangkap kira-kira pukul 10 pagi melalui kaedah tembakan ubat pelali dalam operasi yang dijalankan enam kakitangan Unit Tangkapan Gajah, Terengganu.

Beliau berkata Perhilitan Terengganu telah membuat pemantauan sejak Selasa (2 Mac), selepas menerima aduan daripada penduduk kampung sekitar mengenai sekumpulan gajah yang sering berkeliaran di kampung mereka dan merosakkan tanaman penduduk.

“Hasil risikan mendapati terdapat sembilan ekor gajah dalam kumpulan ini dan Perhilitan Terengganu akan terus memantau pergerakan gajah lain yang masih berkeliaran.

“Kumpulan gajah ini dipercayai keluar dari hutan berhampiran dan menceroboh masuk ke perkampungan penduduk untuk mencari makanan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata berita kejayaan menangkapan haiwan itu, melegakan penduduk di sekitar Kampung Sekayu, Kuala Menjing, Durian Bador Kemat, Padang Setar dan Taman Pertanian Negeri Sekayu, kerana tanaman mereka sering dimusnahkan, sebelum ini.

Menurut beliau, gajah betina itu kini dalam keadaan sihat dan stabil dan operasi pemindahan gajah liar itu akan dilakukan esok dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang, Pahang.

“Lokasi pemindahan serta pelepasan semula gajah liar terbabit ialah di Taman Negara, Tanjung Mentong di Hulu Terengganu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan penduduk di kampung tersebut serta pengurusan Taman Pertanian Negeri Sekayu melahirkan kebimbangan disebabkan kehadiran kumpulan gajah liar itu yang merosakkan tanaman hingga terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here