SAFAWI Rasid menjulang Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah - keempat buatnya bersama JDT. - Foto FB Johor Southern Tigers.

SIAPA lagi antara 22 pemain di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru yang paling gembira semalam jika bukan Safawi Rasid?

Sayap kanan Harimau Malaya ini punya tiga sebab untuk berpesta selepas memenangi Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah buat Johor Darul Ta’zim (JDT) FC.

Sudahlah menjaringkan gol pertama pada minit ke-35, semalam juga ialah hari ulang tahun kelahiran ke-24 buat anak jati Kampung Bukit Chatak, Dungun, Terengganu ini.

Daripada sepakan sudut Gonzalo Cabrera dari sebelah kanan yang menyinggahi kaki Afiq Fazail, Safawi menyudahkannya dengan rembatan kidal kegemarannya.

Inilah gol pertamanya buat Harimau Selatan sejak kembali dari perantauan pada Oktober lalu tanpa sebarang aksi kesebelasan utama bersama pasukan senior SC Portimonense, Portugal yang meminjamnya.

SAFAWI (kiri) melarikan bola sambil cuba disaingi kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar. – Foto FB Johor Southern TIgers.

Kejuaraan Sumbangsih keenam milik JDT selepas 2015, 2016, 2018, 2019, 2020 ini dpastikan dengan rembatan Natxo Insa dari luar petak penalti pada minit ke-68.

Langkah kanan JDT itu juga bagaikan isyarat amaran awal bahawa gelaran kelapan berturut-turut mereka sejak 2014, bakal menjelma jika 11 lawan Liga Super ini tidak segera menggandakan usaha mengekangnya.

Kata jurulatih JDT, Benjamin Mora seperti dipetik dalam satu laporan TV, “ini tetap satu perlawanan yang penting kerana memberikan kami tiga mata pertama.

“Kedah sebuah pasukan yang kuat. Biarpun mereka menyerang, kami cukup bersedia dan amat tenang selain kami buat apa yang diperlukan dalam serangan kami,” kata warga Mexico ini.

Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak pula tetap menyifatkan anak-anak buahnya telah memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan itu.

“Mereka sudah cuba mendapatkan persefahaman. Jangan lupa ini baru sahaja perlawanan pertama mereka. Saya yakin kami akan meningkat dalam satu persatu perlawanan,” kata warga Singapura ini.

Agak menghairankan JDT tidak menyenaraikan langsung seorang lagi sayap Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh bahkan hanya menurunkan kapten, Hariss Harun dan bekas ketua pasukan Malaysia, Safiq Rahim sebagai pemain gantian.

Dua pemain gantian, Ahmad Hazwan Bakri dan Ramadhan Saifullah Usman pula hanya dimasukkan Moira ketika tinggal beberapa saat lagi masa kecederaan babak kedua hendak ditamatkan tanpa sempat menyentuh bola.– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here