FOTO: Aziz A. Shariff

KUANTAN — Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan terus memainkan peranan dengan membantu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam merancakkan semula sektor pelancongan, susulan rentas daerah yang kini dibenarkan semula.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya telah menawarkan kerjasama kepada MOTAC yang diterajui oleh Datuk Seri Nancy Shukri, dalam mempromosikan tempat menarik menerusi siaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

“Selain RTM dan BERNAMA, kita juga ada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang dapat membantu MOTAC menghidupkan semula sektor pelancongan yang terjejas susulan pandemik COVID-19, dengan menerbitkan video pendek dan dokumentari … apa sahaja yang boleh dibantu kita akan cuba laksanakan.

“Malah, sekiranya terdapat syarikat persendirian yang berminat untuk menghasilkan video promosi, (mereka) juga boleh memohon geran melalui Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Indera Mahkota Prihatin di Terminal Sentral Kuantan, di sini hari ini.

Program yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Finas Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri itu menyaksikan, seramai 108 pemandu bas dan teksi serta penjaja, diberikan bantuan bakul makanan.

Saifuddin berkata dengan aktiviti pelancongan dihidupkan semula, ia sekali gus dapat membantu ramai pihak yang terkesan dari segi pendapatan, termasuk pemandu bas dan teksi, serta peniaga-peniaga kecil.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here