FOTO: NSTP.

JELI — Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) akan dibentangkan sebaik sahaja Parlimen dibenarkan bersidang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata RMKe-12 telah siap sepenuhnya malah ia juga sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa antaranya dari sudut angka serta strategi kerana mengambil kira impak pandemik COVID-19.

“Proses mengemas kini berjalan secara berterusan. Apabila kerajaan umum bentang (RMKe-12) kita akan bentang dan kita sudah bersiap sedia,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dekat sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sementara itu, Mustapa berkata, Jawatankuasa Pelaksanaan Pembangunan Negara akan memantau setiap projek di bawah kerajaan persekutuan pada tahun ini berjalan mengikut perancangan serta penjadualan yang ditetapkan untuk merancakkan semula ekonomi pembangunan negara.

Beliau yang juga merupakan pengerusi bersama jawatankuasa berkenaan berkata, ini bagi memastikan projek pembinaan termasuk di bawah RMKe-11 tidak tergendala walaupun ketika negara dilanda penularan  COVID-19.

“Peruntukan sektor pembangunan pada tahun ini adalah RM69 bilion tetapi ada laporan mengatakan kita tidak dapat nak membelanjakan sepenuhnya dan ini satu perkara yang membimbangkan.

“Jadi minggu depan Unit Perancang Ekonomi akan mengadakan bengkel melibatkan semua kementerian untuk meneliti keperluan cashflow (aliran tunai) untuk melihat apa masalah seperti pengurusan tanah…ini semua akan diperhalusi supaya kita dapat tahu tahun ini sebanyak mana yang dibelanjakan,” tambahnya.

Mengenai lawatannya, Mustapa yang merupakan Ahli Parlimen Jeli berkata, pembinaan RKAT dengan kos bernilai RM58 juta itu dijangka siap pada Februari 2022 dan akan diserahkan kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia untuk digunakan oleh Batalion Ke-2 Rejimen Sempadan.

Sementara itu, Mohd Zuki berkata, projek RKAT tersebut seharusnya dijadikan contoh kepada negeri lain memandangkan pelaksanaannya dijangka siap enam bulan lebih awal berbanding penjadualannya.

“Faktor utama yang kita boleh simpulkan walaupun Jeli agak jauh daripada pentadbiran di Putrajaya tetapi keupayaan melaksanakan projek yang dijadualkan membuktikan bahawa kalau ada kesungguhan tiada alasan projek tidak boleh dilaksanakan walaupun kita berdepan dengan pandemik COVID-19.

“Antara faktornya adalah keupayaan dan komitmen kontraktor yang dilantik mampu melaksanakan tanggungjawab mereka walaupun dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here