HARIMAU Malaya kendalian Tan Cheng Hoe (tengah) mengekori pendahulu Kumpulan G kelayakan, Vietnam dengan sembilan mata. - Foto FAM.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

SKUAD Harimau Malaya ditetapkan menyambung semula baki pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 mulai 3 Jun ini dengan berdepan Amiriah Arab Bersatu (UAE)di venue berpusat yang bakal diputuskan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Dua lagi perlawanan Kumpulan G kelayakan itu ialah menentang Vietnam pada 11 Jun ini diikuti melawan Thailand, 15 Jun ini, juga di venue berpusat.

AFC telah mengemaskinikan jadual kelayakan itu pada awal minggu ini dengan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe ini turut diberikan rehat pada 7 Jun.

Satu lagi pasukan Kumpulan G kelayakan ialah Indonesia yang sudah ditewaskan Malaysia 3-2 dan 2-0 di Jakarta dan Bukit Jalil pada 5 September dan 19 November 2019.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John pada akhir bulan lalu berkata, semua pasukan diberikan batas waktu sehingga esok untuk mengemukakan venue pilihan setiap kumpulan mereka atau konfederasi yang menetapkannya jika tiada kata sepakat.

Venue berpusat boleh dicadangkan mana-mana negara ahli gabungan AFC termasuk kalangan pasukan terbabit atau berkecuali asalkan menepati kriteria tertentu terutama kesihatan, keselamatan dan peraturan imigresen ekoran pandemik Covid-19 sekarang.

UAE tampak lebih menonjol dan berpeluang cerah menjadi venue Kumpulan G memandangkan Al Abyad menjadi satu-satunya pasukan yang mampu melangsungkan empat perlawanan persahabatan ketika kelayakan ditunda dari jadual asal.

Di Dubai, skuad Bert van Marwijk dari Belanda ini kalah kepada Uzbekistan 2-1 dan Bahrain 3-1 namun mengalahkan Tajikistan 3-2 serta terikat tanpa jaringan dengan Iraq dari Oktober 2020 hingga Januari lalu.

Cheng Hoe dijangka membuka semula kem latihan pusat skuad negara dari 22 hingga 30 Mac ini namun sama ada turut disertai perlawanan persahabatan, dapat dipastikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) juga perlu merehatkan saingan Liga Super dan Perdana 2021 yang tirainya baru disingkap Jumaat lalu yang menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC mempertahankan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah selepas menumpaskan Kedah 2-0.

Tempoh rehat liga bagi Jun dijangka diumumkan MFL pada minggu depan dengan sekurang-kurangnya tiga minggu diperlukan Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, “kami sedang mengatur siri perlawanan persahabatan buat skuad negara sebelum menentang UAE.”

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here